
KUALA LUMPUR: ADUN Semenyih, YB Ustaz Nushi Mahfodz hari ini mempersoalkan niat sebenar di sebalik langkah Majlis Sosial Negara (MSN) untuk menyelaras Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), sebuah institusi pendidikan prasekolah Islam yang telah lama berdikari dan berjaya di bawah sokongan komuniti.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, beliau mengulas bahawa tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan atau sebenarnya satu bentuk kawalan terhadap pendidikan Islam di peringkat akar umbi.
“Jika PASTI tidak melanggar mana-mana peruntukan Dasar Sosial Negara (DSN) dan berdiri atas semangat berdikari, mengapa ia mahu diselaraskan? Adakah ini benar-benar demi kualiti, atau sebenarnya satu bentuk penghapusan pendidikan Islam yang tumbuh subur secara organik di lapangan masyarakat?” soal beliau.
Ustaz Nushi turut membangkitkan isu dwistandard apabila institusi lain seperti Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) menerima dana awam mencecah RM15 juta setahun tanpa melalui proses penyelarasan serupa, malah menerima bantuan secara terbuka melalui pemimpin politik yang membawa logo parti, bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 dan Pekeliling Ikhtisas KPM.
“Sekolah-sekolah yang dibiayai oleh rakyat sepatutnya dipantau dengan lebih teliti, bukan institusi yang berdikari seperti PASTI. Adakah ini tanda Islamophobia terselindung di bawah slogan Madani?” tambahnya.
Beliau juga menimbulkan kebimbangan berkenaan insiden kehadiran Tentera Laut China di sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang tahun lalu, yang menurutnya langsung tidak dipandang serius oleh pihak kerajaan meskipun jelas menggugat prinsip keselamatan dan kebebasan institusi pendidikan daripada pengaruh luar.
Ustaz Nushi menyarankan agar kerajaan lebih adil dan telus dalam membuat penyelarasan dengan mendahulukan institusi yang menerima dana awam serta menubuhkan platform dialog terbuka bersama pengurusan PASTI dan komuniti.
“Jika benar kerajaan mahu meningkatkan kualiti pendidikan, seharusnya mereka menyokong inisiatif rakyat seperti PASTI, bukan menekannya. Ini bukan soal penyelarasan, ini soal keadilan. Madani untuk semua atau Madani yang bertopengkan Islamophobia? Jika bukan Islamophobia, apa lagi namanya?”
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sebuah Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah akan ditubuhkan bagi menyelaras aspek pendaftaran, pembangunan kurikulum serta kebajikan guru-guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Perkara itu menurutnya dipersetujui menerusi mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2025 baru-baru ini. Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu demi memastikan penyampaian pendidikan prasekolah yang berkualiti, selamat dan teratur. – HARAKAHDAILY 14/5/2025











