Kelantan zahir takziah 9 anggota FRU terkorban

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan dan rakyat Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragik di Teluk Intan, Perak, pagi tadi.
 
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan melahirkan rasa simpati terhadap insiden tersebut yang mengorbankan sembilan anggota keselamatan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.
 
“Kita amat bersimpati atas kejadian yang berlaku dan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi ujian ini,” ujar beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemalangan membabitkan trak FRU dari Ipoh dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
 
Dalam kejadian sekitar jam 8:51 pagi itu, trak FRU yang membawa 18 anggota dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.

- Advertisement -

Trak FRU tersebut difahamkan dirempuh dari hadapan oleh lori muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.
 
Sembilan anggota dilaporkan meninggal dunia, manakala sembilan lagi cedera termasuk ada yang parah dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Teluk Intan.
 
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Teluk Intan terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan tiga anggota FRU yang tersepit di bahagian hadapan trak.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, kejadian itu berlaku apabila trak yang dinaiki anggota FRU itu bertembung dengan sebuah lori lain yang membawa muatan batu.

“Setakat ini, saya boleh sahkan lapan terkorban dan operasi menyelamat sedang dijalankan. Beberapa mangsa yang berjaya dikeluarkan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan,” katanya mengesahkan jumlah korban awal.

Terdahulu Pusat Gerakan Operasi JBPM Perak, menerima panggilan kecemasan pada jam 8:54 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan digerakkan ke lokasi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori FRU yang membawa anggota, termasuk pemandu, bertembung dengan lori muatan batu, menyebabkan sebahagian besar mangsa tersepit.

Pemandu lori muatan batu kerikil itu telah ditahan polis bagi siasatan lanjut. – HARAKAHDAILY 13/5/2025

- Advertisement -