
KUALA LUMPUR: Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam bakal menganjurkan Himpunan Melayu Berdaulat bertempat di hadapan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada 24 Mei 2025, Sabtu.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali berkata, perhimpunan itu disasarkan untuk menghimpunkan antara 15,000 hingga 20,000 orang peserta daripada pelbagai latar belakang, khususnya orang Melayu dan umat Islam.
Beliau berkata, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan semasa negara yang dikatakan semakin tidak menentu di bawah pentadbiran Kerajaan Madani sejak tiga tahun lalu.
“Kita lihat kerajaan sekarang ini tidak mampu untuk menangani masalah yang kita lihat menjadi-jadi dari segi perkauman yang kita selama ini hidup aman damai sejak berpuluh-puluh tahun selepas merdeka. Tetapi pada kali ini suasana agak berlainan.
“Kepentingan Melayu semakin terhakis bukan sedikit, kalau kita senaraikan nanti Insya-Allah pada hari tersebut kita akan senaraikan apa yang kita bimbang, apa yang kita telah hilang dan juga apa yang kita akan tuntut nanti,” katanya dalam sidang media di Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Sekretariat Patriotik Rakyat, Zaharudin Muhammad dan Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman serta Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan.
Juga, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari dan Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Dr Kamaruzaman Yusoff.
Syed Hasan menegaskan bahawa perhimpunan itu bukan sekadar untuk orang Melayu, tetapi juga terbuka kepada rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama yang merasakan tekanan terhadap pentadbiran semasa.
“Jadi siapa yang perlu hadir? Yang perlu hadir terutama orang-orang Melayu, orang Islam, rakyat yang rasa tertekan dan juga mana-mana ahli-ahli politik yang hadir.
“Tak kira dari mana-mana politik pun, pemimpin-pemimpin ini boleh hadir.. hadir bukan sebagai wakil parti politik, hadir kerana dia Melayu. Saya hadir pun kerana saya Melayu, Cikgu Izzat pun hadir kerana Melayu, Puan Zaharah pun.. semua hadir bukan atas tiket NGO.
“Jadi kita nak yang hadir itu, siapa saja yang rasa dia itu Melayu, dia perlu hadir dan kita jemput kita mohon ramai lagi turun pada hari tersebut,” katanya.
Menjelang tarikh perhimpunan, beliau turut memaklumkan dua siri ceramah umum yang dijangka menarik ribuan hadirin, iaitu pada 16 Mei di Sungai Buloh dan 23 Mei di Dewan Kampung Baru.
“Caramah dijangka akan dihadiri oleh sekurang-kurangnya 5,000 orang. Jadi untuk itu, pengisian yang kita akan sampaikan pada dua ceramah ini kita akan bawa bersama dengan semangat orang Melayu agar berhimpun pada 24 Mei nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2025











