
KUALA KRAI: Persediaan berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) menjadi antara agenda dibincangkan Mesyuarat Tahunan (MAT) PAS pada peringkat Dewan dan Kawasan.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, hasrat itu dibincangkan secara holistik bagi memastikan kejayaan PAS dan Perikatan Nasional (PN).
“Persediaan untuk berhadapan PRU16 sudah semestinya dijadikan keutamaan dan perancangan tersebut hendaklah dibincangkan dalam mesyuarat agung tahunan setiap kawasan seluruh negara.
“Hal ini demi memastikan PAS bersama rakan taawunnya dapat menang selesa dan bergaya nanti,” katanya ketika berucap merasmikan MAT Dewan Ulamak PAS Kawasan Kuala Krai.
Majlis diadakan di Dewan Tuan Guru Abdul Rahman Sungai Durian itu menyaksikan Ustaz Muhammad Mat Sulaiman mengekalkan jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang itu menang tanpa bertanding, malah ia turut membabitkan pelantikan semua ahli jawatankuasa bagi tempoh dua tahun.
Mohd Asri yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menegaskan peranan Ulamak dalam merangka aktiviti tarbiyah bagi menarik rakyat menerima perjuangan PAS.
Bahkan kata beliau lagi, hasrat tersebut menjadi tugasan sebenar sayap parti yang berteraskan tiga elemen iaitu tarbiyah, dakwah dan juga menetapkan kefahaman siyasah atau politik.
“Ia adalah tugasan hakiki Dewan Ulamak dan mempastikan setiap ahli parti dapat mendokong segala keputusan pimpinan sangat penting khasnya dalam tempoh pilihan raya.
“Peranan Ulamak dalam menyediakan program tarbiyah yang berkesan serta menjadi pendakwah yang menarik seramai mungkin asatizah agar menerima perjuangan PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2025











