
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow dituntut memberikan jaminan dan penegasan secara jujur telus bahawa semua entiti Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak terbabit dalam sebarang urusan kewangan yang salah di sisi undang-undang. Iaitu melibatkan syarikat kerajaan negeri (GLC), serta anak-anak syarikat mereka, termasuk jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Ia berikutan siasatan polis ke atas kes penipuan skim ponzi dan Macau Scam melibatkan nilai lebih RM60 bilion dan lebih 2 juta pelabur termasuk warganegara China. Di mana siasatan ke atas syarikat dan individu-individu terbabit yang turut melibatkan hartanah di Pulau Pinang, telah menimbulkan dakwaan di media sosial bahawa turut menjebak entiti berkaitan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Siasatan polis sendiri bukan sahaja telah membuat tangkapan, malah membongkar dan mengesahkan penipuan yang licik dengan mewujudkan beberapa lapis akaun keldai itu. Ia dilakukan menggunakan hampir 100 akaun bank berbeza atas nama individu dan syarikat bagi melakukan transaksi kewangan dan sebagai platform penggubahan wang haram.
Perkara yang sedang mendapat perhatian umum ini menyebabkan kebimbangan terhadap kemungkinan berleluasanya kegiatan penipuan didalangi sindiket tertentu di negeri ini. Tentu ramai yang khuatir akan menjadi mangsa atau negeri ini menjadi transit atau proksi atau pusat kegiatan jenayah tersebut dan sudah tentu merisikokan pelbagai akibat buruk ke atas keselamatan.
Bahkan sindiket juga dengan wang ‘pelaburan’ tersebut dikatakan turut membuat pembelian ratusan unit kondominium mewah dan unit komersial di Georgetown terutamanya. Selain turut dikaitkan beberapa individu dan syarikat dengan pihak yang telah memperoleh kontrak kerja sivil dan struktur utama Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara di Pulau Pinang.
Oleh itu, amat penting pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, termasuk juga Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pengangkutan diterajui Anthony Loke Siew Fong tampil. Jaminan mesti diberi bahawa projek dan peruntukan berbelas bilion ringgit ke atas projek LRT Mutiara juga tidak terjebak dengan penipuan serta jenayah yang berkaitan.
“Islam Adalah Penyelesaian”
ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 11/5/2025











