
MELANGKAH gagah membina generasi dalam tempoh empat dekad bukanlah sesuatu yang boleh dianggap artificial; empat dasawarsa menoreh sejarah emas pendidikan negara ini sehingga melahirkan lebih 1.3 juta alumni di seluruh negara.
Kurikulum prasekolah Islam ini banyak kali melalui proses penambahbaikan oleh pemain-pemain utama pendidikan negara ini. Mereka berkhidmat di belakang tabir oleh sebab kekangan rejim tirani yang merasakan harakatul ummah ini adalah pesaing utama kepada mereka.
Kecemerlangan PASTI meniti dari bibir ke bibir para pendidik arus perdana, menguasai 3M yang memudahkan pendidikan peringkat sekolah rendah. Di sekolah-sekolah arus perdana, alumni PASTI adalah pemimpin dengan bervariasi bakat seperti melaungkan azan, berdoa, membaca bahkan menghafaz al-Quran, berpidato, lincah bersukan serta mempunyai akhlak yang piawai. Pastinya institusi ini menjadi rebutan ibu bapa serta penjaga, dengan seramai 139,091 orang pelajar dengan 9,002 orang guru yang ikhlas menabur bakti.
Megahnya, PASTI dengan 2,680 premis di seluruh negara sama ada di kawasan kelas menengah Melayu sehinggalah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Demi peningkatan kualiti pendidik kepada anak-anak PASTI maka seramai 471 orang para muallimahnya telah bergraduat dalam bidang Pengajian Pendidikan Awal kanak-kanak.
Tiba-tiba, institusi ini cuba diganggu lagi dengan alasan yang tidak masuk akal; pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menilai PASTI, tatkala sepatutnya tadika KEMAS yang perlu diangkat kualiti sesuai di bawah portfolio TPM!
Rakyat sejujurnya sedang bertarung hidup untuk menikmati kehidupan yang lebih baik. Rata-rata rakyat terpaksa berhemat dalam kehidupan yang nilai wang yang semakin merudum dan kuasa beli yang merosot. Rasuah dan penyelewengan semakin membarah termasuk politik chauvanist yang semakin menampakkan taring yang mana kesannya fatal terhadap masyarakat Muslim negara ini.
Ironinya, telah empat dasawarsa PASTI mendidik anak-anak kecil mengenali agama. Tiada yang berani meremehkan sumbangan PASTI kerana institusi bukan berorientasi keuntungan ini tegaknya atas nilai keikhlasan para pendukungnya.
PASTI mewarnai sejarah pendidikan prasekolah tanah watan ini sejak dekad 1980-an, selari dengan perkembangan pantas landskap politik, ekonomi dan sosial negara ini selepas kemerdekaan.
Pendidikan prasekolah telah dibangunkan dengan pesat sama ada oleh pihak kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, kesatuan sekerja setempat, badan-badan Islam seperti PERKIM, persatuan gereja-gereja Kristian, pertubuhan politik dan juga NGO-NGO Islam.
Berlakunya kebangkitan Islam di negara ini dalam dasawarsa 1970-an dan 1980-an telah turut menyemarakkan perkembangan pendidikan prasekolah. Permintaan rakyat terhadap institusi pendidikan prasekolah Islam telah meningkat dengan berlakunya kesedaran Islam dalam keadaan peserta kebangkitan Islam tidak berpuas hati dengan prasekolah konvensional yang sedia ada di negara ini.
Riak untuk menubuhkan pusat prasekolah yang berorientasikan Islam semakin hebat pada penghujung dekad 1970-an, terutama apabila kelompok kelas menengah Melayu semakin membesar terutama yang mempunyai kesedaran Islam. Penubuhan tadika-tadika Islam ini juga mempunyai sejarah yang menarik apabila ianya berlaku persefahaman di antara ABIM dengan Dewan Pemuda PAS Pusat. ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi prasekolah ini yang dikenali sebagai TASKI (Taman Asuhan Kanak-kanak Islam). Pendukung ABIM pula sebahagian besarnya adalah aktivis PAS sehinggalah Anwar Ibrahim menyertai Umno pada tahun 1982 yang menyebabkan sebahagian besar ahli ABIM yang juga aktivis PAS telah meninggalkan ABIM.
Di Terengganu pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu manakala di Kelantan pusat pendidikan prasekolah ditaja oleh Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Kelantan dikenali sebagai PUTRA ISLAM.
Menurut Fauzi Zakaria, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan iaitu Mohamad Hussin telah mengadakan beberapa kali pertemuan dengan siswazah-siswazah Islam, aktivis pelajar Islam dan juga pihak Lujnah Tarbiah Pemuda untuk menggubal sukatan dan skop pengajian prasekolah ini.
Di negeri Kedah pula telah diwujudkan pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan Pemuda PAS Kedah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam. Dewan Pemuda PAS Kedah yang dipimpini oleh Najib Pahmi Yahaya telah menubuhkan PASTI di setiap kawasan di Kedah yang dikendalikan oleh Pemuda PAS kawasan masing-masing.
Menurut Ustaz Fauzi Husain, kebangkitan pendidikan prasekolah PASTI ini berpunca daripada Majlis Ihtifal PASTI bertempat di Bangunan Tepian Gelanggang pada hujung tahun 1988 yang mana Almarhum Tuanku Sultanah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Sultanah Kedah, telah berkenan mencemar duli untuk hadir.
Penubuhan PASTI seterusnya, dengan pantas mendapat sambutan di negeri Kedah termasuk oleh pelajar-pelajar bukan Islam yang turut dihantar ibu bapa mereka untuk belajar dan ianya berlaku di Padang Serai dan Kodiang.
Perkembangan pesat pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan-dewan Pemuda PAS Negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli-ahli PAS. Keprihatinan pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS terhadap sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar-pelajar yang memahami Islam dengan baik.
Dewan Pemuda PAS Pusat yang waktu itu dipimpin oleh Dato Abu Bakar Chik, telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS. Satu tindakan diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk di peringkat pusat diketuai oleh Dr. Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah ini.
Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS secara sistematik. Dua orang tokoh pendidikan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Almarhum Dato’ Harun Taib dan Ustaz Abdul Halim Arshat.
Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya, Dr. Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Mohd Najib Fahami Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Ishak Ismail manakala bendaharinya ialah Noh Ahmad. Semua Pengarah-pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat.
Terlalu panjang untuk dinukilkan sejarah emas PASTI; institusi ini dijaga dengan rapi oleh Dewan Pemuda PAS di pelbagai peringkat. Trofi kejayaan pelajar-pelajar PASTI juga tidak terhitung banyaknya, melahirkan pelajar cemerlang peperiksaan awam negara saban tahun, menetas pemain-pemain sukan negara, anggota legislatif, puluhan ribu professional serta teknokrat negara.
Apa perlu daki kedengkian kepada PASTI perlu dizahirkan? Perbaikilah institusi di bawah kamu untuk menebar pesona kepada masyarakat awam, bukannya meruntuhkan apa yang telah terbukti gemilang dan terbilang!
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 10/5/2025











