
KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1446H/2025M di Dewan 2020, di sini malam tadi.
Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis berprestij anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis ini menyaksikan penyertaan seramai 109 peserta dari seluruh negara, berlangsung selama enam hari bermula 27 April hingga 2 Mei 2025.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli turut hadir bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Mufti Negeri, Dato’ Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dalam majlis penutupan itu, Raja Perlis dan Raja Perempuan berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.
Johan Qari disandang oleh Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Perak, manakala Johan Qariah dimenangi Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dari Terengganu.
Kategori Hafazan 30 Juzuk pula menyaksikan kemenangan Muhammad Adib Ahmad Rozaimi (Perak) bagi Hafiz dan Putri Auni Khadijah binti Mohd Hanif (Kelantan) bagi Hafizah.
Negeri Kedah pula dinobatkan sebagai Johan keseluruhan MTHQK 1446H/2025M.
Pemenang-pemenang akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 9 Ogos 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Penganjuran MTHQK tahun ini amat bermakna apabila Perlis dipilih sebagai tuan rumah bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Raja Perlis, menandakan komitmen berterusan negeri ini dalam memperkasakan syiar Islam di peringkat nasional.
Turut hadir dalam majlis penutup ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee, Ketua Polis Negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim, serta pegawai-pegawai kanan jabatan negeri dan persekutuan.
Majlis ini secara tidak langsung terus mengangkat budaya membaca dan menghayati al-Quran sebagai tonggak utama pembentukan masyarakat rabbani serta generasi Al-Falah yang istiqamah dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. – HARAKAHDAILY 3/5/2025











