
KANGAR: PAS tidak pernah berundur dalam usaha membentuk masyarakat berlandaskan nilai-nilai Islam, malah terus istiqamah memperjuangkan dasar tauhid pada setiap aspek kehidupan dan kepimpinan.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menegaskan demikiam ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kangar dan Dewan-dewan di Pusat Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, semalam.
“PAS boleh main peranan dan kita ada saham dari cawangan dan DUN untuk menerapkan nilai Islam dalam masyarakat,” katanya yang pernah memimpin negeri itu sebagai Pesuruhjaya.
Beliau turut menyeru agar setiap ahli PAS menjauhi perkara yang boleh membawa keburukan kepada jemaah, diri sendiri dan keluarga serta masyarakat.
“Kalau kita nampak sesuatu perkara akan membawa keburukan, tinggalkanlah. Benda tak elok kalau kita buat, ia akan bawa keburukan yang lebih besar,” ujarnya.
Tegas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu, asas perjuangan PAS kekal berteraskan tauhid dan keikhlasan, bukan berlandaskan politik peribadi atau kepentingan duniawi.
Dalam ucapannya itu, beliau turut mengimbau kisah Tan Sri Annuar Musa yang sebaik menyertai PAS dapat merasai sendiri betapa di dalam parti ini tidak berlaku perbuatan saling menjatuhkan dan menaikkan kawan sendiri sepertimana berlaku dalam Umno.
“Tan Sri Annuar Musa selepas menyertai PAS berkata, dalam PAS tiada soal jatuh-menjatuh atau nak naikkan kawan sendiri, kerana asas perjuangan kita adalah tauhid,” jelasnya.
Menurut Tuan Guru lagi, keyakinan bekas Setiausaha Agung Umno itu bukan sahaja dari penyaksian sendiri, malah diungkapkan secara peribadi kepada beliau oleh bekas Menteri itu atas asas perjuangan PAS yang berlandaskan ketauhidan kepada Allah.
Untuk rekod, Tan Sri Annuar Musa yang dahulunya merupakan bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh juga pernah menyandang jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, telah menyertai PAS pada tahun 2023.
Tan Sri Annuar menyatakan bahawa penyertaannya ke dalam PAS adalah kerana keyakinan beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh parti ini dan hasrat untuk bersama-sama memperkukuh agenda perpaduan ummah.
Mengimbas kembali pengorbanan ahli PAS terdahulu, Tuan Guru menceritakan betapa ada kalangan ahli sanggup menggadai geran tanah demi membayar gaji guru dan memastikan kelangsungan institusi pendidikan, khususnya di Madrasah Ad Diniah Al Islamiah (MADI).
“Alhamdulillah, sampai sekarang MADI tidak pernah susah untuk bergerak. Ini keberkatan daripada usaha dan keikhlasan orang terdahulu yang sanggup beri geran tanah mereka untuk digadai. Ketika itu, kita pun tak terfikir untuk lakukan pengorbanan seumpama ini,” katanya.
Tuan Guru turut mengaitkan semangat perjuangan PAS dengan semangat Sahabat Nabi SAW yang berjuang kerana Allah, bukan kerana harta.
“Ada seorang Sahabat RA, selepas balik dari perang dengan Rom, dia tersepak karung duit. Walaupun miskin, dia tetap pulangkan kepada Khalifah Saidina Umar. Katanya, ‘Saya berjuang di medan perang kerana Allah, bukan kerana duit’,” cerita beliau.
Peristiwa itu menurutnya menjadi teladan bahawa keberkatan dalam perjuangan akan hadir apabila niatnya ikhlas kerana Allah. – HARAKAHDAILY 20/4/2025











