
ALOR SETAR: Tamadun Kedah Tua perlu ditonjolkan mempunyai nilai peradaban tinggi terutamanya dari segi kemajuan teknologi, kebudayaan dan perdagangan antarabangsa sehingga membawa kepada kegemilangan warisan tamadun bertunjangkan agama Islam.
Demikian antara titah Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah sempena perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Titah Baginda, sejajar dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan Perlembagaan Persekutuan yang berlandaskan Islam sebagai agama rasmi negara, rakyat Kedah diseru agar mengamalkan ajaran Islam sebenar agar syiar agama itu dapat ditegakkan.
“Beta juga mengharapkan institusi agama Islam di negeri ini dapat memastikan agenda syiar Islam dapat ditegakkan berdasarkan kepada fahaman yang benar tanpa mengorbankan perpaduan sesama umat Islam,” titah Baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Sultan juga menyarankan agar Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, dijadikan platform terbaik untuk meletakkan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Beta berharap semua pihak-pihak berkepentingan agar lebih proaktif dalam menjayakan kempen TMK 2025, termasuk jugaTahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 nanti.
“Produk pelancongan sama ada di Tanah Besar atau di Pulau Langkawi perlu ditambah baik dan dinaik taraf serta mengenal pasti produk-produk pelancongan baharu.
“Jaringan perhubungan dan pengangkutan juga haruslah diperkasakan terutamanya perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi,” tegas baginda lagi.
Dalam masa yang sama, baginda turut mengingatkan kepada warga sidang agar berbahas secara ilmiah tanpa menepikan fakta dan tatasusila serta menggunakan kesempatan itu untuk membincangkan kepentingan negeri dan rakyat.
Titahnya lagi, sebagai pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat, baginda berpesan agar semua Ahli Yang Berhormat berjiwa besar, mempunyai keikhlasan tinggi untuk berkhidmat demi rakyat dan meletakkan kepentingan negeri melebihi kepentingan sendiri.
“Walaupun wujud perbezaan agenda dan ideologi, namun Beta yakin tentu ada persamaan terutama dalam mencorak pembangunan dan kebajikan rakyat bagi membentuk negeri yang lebih makmur,” titah Baginda lagi.
Tuanku Sultan juga mengucapkan penghargaan di atas taat setia, pengorbanan dan perkhidmatan anggota Angkatan Tentera Malaysia(ATM), Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
Juga Jabatan Bomba dan Penyelamat, Anggota RELA, barisan petugas kesihatan serta seluruh Pegawai Tadbir Negeri Kedah, termasuk penjawat awam negeri dan persekutuan di Kedah di atas komitmen yang diberikan.
Terdahulu, Baginda perkenan memeriksa Kawalan Kehormat Batalion Ke-6, Rejimen Askar Melayu DiRaja yang diketuai Mejar Mohd Afiq Ismail, di pekarangan dataran Wisma Darul Aman. – HARAKAHDAILY 20/4/2025











