Pesta Songkran dilaksanakan untuk kaum Siam

- Advertisement -

SIK: Pesta Songkran yang diraikan oleh masyarakat Siam, bukan sahaja perayaan tradisi kaum berkenaan, tetapi ia juga merupakan salah satu tarikan pelancong luar sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, ujar Wong Chia Zhen.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO itu berkata, pesta Songkran yang disambut di peringkat negeri, juga membuktikan keprihatinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, terhadap pelbagai kaum di negeri ini.

“Masyarakat Siam juga mempunyai peranan tersendiri dalam menyumbang kepada keharmonian, pembangunan dan kekayaan budaya di Kedah.

“Malah pesta ini juga membuka peluang kepada kaum lain untuk mengenali budaya masyarakat Siam dengan lebih dekat,” jelas beliau.

Chia Zhen berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah, 2025, di Wat Thammasiriwararam Kampung Kura, Mukim Jeneri, semalam.

Dalam pada itu katanya, pihak beliau tidak perlu melayan provokasi murahan golongan tertentu apabila cuba menimbulkan isu berkenaan pendirian Kerajaan Negeri berkenaan sambutan perayaan Songkran di Kedah.

“Tak perlu cakap banyak. Kita dah buktikan dengan tindakan dan buat kerja ikhlas. Pesta Songkran ini dilaksanakan untuk kaum Siam.

“Walaupun pihak yang cuba timbulkan kontroversi berkenaan ini telah memerintah berpuluh tahun di Kedah, tetapi dia masih tidak faham tentang keharmonian dan perpaduan masyarakat khususnya komuniti Siam di negeri ini,” tambah beliau.

Malah katanya lagi, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan yang berjumlah keseluruhannya sebanyak RM70,000 kepada lapan buah Wat Siam di seluruh Kedah sempena sambutan Songkran pada tahun ini.

Dalam pada itu, jelas beliau, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan bantuan kewangan bagi Peperiksaan Kelas Dhamma Tahun 2025 yang telah diadakan di Wat Teluk Wanjah pada Februari yang lalu.

“Wat Kura juga menerima bantuan Tabung Pendidikan dari Kerajaan Negeri berjumlah RM5,000. Ini bukti kerajaan hari ini cakna kepada kebajikan dan hak masyarakat Siam,” kata beliau lagi.

Sambutan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah itu, dihadiri hampir 8,000 masyarakat Siam khususnya yang berhampiran, meraikan pesta berkenaan. – HARAKAHDAILY 20/4/2025

- Advertisement -