PKWR Kuala Ketil kehilangan amilin istiqamah

- Advertisement -

BALING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria merakamkan ucapan takziah atas pemergian kakitangan Pusat Khidmat Wakil (PKWR) beliau, Abdul Latif Kassim ke rahmatullah yang baginya satu kehilangan amat besar.

- Advertisement -

Jelas beliau, sehari sebelum Almarhum menghembuskan nafas terakhir, pihaknya bersama PAS Kawasan Baling, telah mengadakan bacaan Yaasin, mendoakan kesembuhan ke atas Almarhum kerana dimasukkan ke hospital akibat strok.

“Dengan penuh rasa syukur dan redha, kami iringi pemergiannya ke negeri abadi. Segala usaha, khidmat, tenaga dan sumbangannya selama ini menjadi saksi betapa ikhlas baktinya terhadap masyarakat dan perjuangan Islam.

“Dalam masa yang sama  seluruh warga PKWR DUN Kuala Ketil juga menghalalkan segala makan minum dan beliau  tiada sebarang hutang antara kita.

“Semoga urusannya dipermudahkan dan dimasukkan Allah ke syurga dari mana-mana pintu yang disediakan-Nya,” kata beliau melalui pautan di media sosialnya, hari ini.

Mansor dan beberapa yang lain, antara yang bersama-sama membantu menguruskan jenazah tersebut yang disempurnakan di Masjid Guar Chempedak, Kuala Ketil, kira-kira jam 11 malam tadi.

Abdul Latif, menghembuskan nafas terakhir, lewat petang semalam, selepas dua hari dirawat di hospital akibat strok.

Selain berkhidmat sebagai pembantu am di PKWR DUN Kuala Ketil, Almarhum juga merupakan Ketua Keselamatan PAS Kawasan Baling dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan PAS Kedah yang berdidikasi serta komited kepada tugasannya.

Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada DUN Kuala Ketil dan PAS Kawasan Baling, atas kesungguhan Almarhum yang sukar ditandingi.

“Terima kasih kepada para kenalan serta orang kampung yang hadir menziarahi, menunaikan solat jenazah dan mengiringi perjalanan terakhir seorang insan yang amat kami kasihi dan hormati ini,” kata Mansor lagi. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

- Advertisement -