
KANGAR: Persiapan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Raja Perlis telah mencapai tahap 95 peratus, termasuk raptai ketibaan tetamu diraja dari seluruh negara, dengan Brunei Darussalam dijadual pada malam ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pelbagai agensi kerajaan digerakkan bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan sepanjang majlis sambutan berlangsung.
“Walaupun Jabatan Meteorologi meramalkan hujan pada hari majlis nanti, kita harap semuanya dapat berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.
Menurut beliau, keprihatinan Tuanku terhadap kebajikan rakyat menjadi panduan utama dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar pentadbiran negeri.
“Tuanku Raja Perlis seorang yang baik dan sangat prihatin dengan masalah rakyat. Saya bagi satu contoh, semasa kita tutup jalan depan istana sempena persiapan sambutan, Tuanku bertanya, ‘Berapa lama ambil supaya rakyat tak rasa susah?’
“Apa saja yang kita buat, baginda pasti akan tanya, ‘Rakyat dapat apa?’” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Mohd Shukri menjelaskan bahawa sikap Tuanku yang mudah didekati dan sentiasa mengambil tahu hal rakyat menjadikan pemerintahan baginda amat disenangi oleh semua lapisan masyarakat.
“Kalau ada pelaburan kilang, baginda akan tanya, ‘Apa rakyat akan dapat bila kita ada kilang dan ada peluang pekerjaan?’ Bila rakyat mendapat manfaat, baginda turut rasa gembira.
“Jadi, insya-Allah, kami yang mentadbir negeri akan terus berpandukan hasrat Tuanku agar rakyat sentiasa menikmati hasil pembangunan negeri,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, antara perkara utama yang sering ditekankan oleh Tuanku ialah usaha meningkatkan pendapatan rakyat secara menyeluruh.
“Yang ditekankan kepada kerajaan negeri ialah tingkatkan pendapatan rakyat, supaya mereka dapat rasa hasil yang kita usahakan. Pimpinan jangan syok sendiri,” ujarnya lagi.
Mohd Shukri turut menyatakan bahawa Tuanku sentiasa menzahirkan keyakinan terhadap kemajuan Perlis agar negeri itu mampu bersaing dan setaraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Sempena sambutan Jubli Perak yang bakal berlangsung pada 17 April ini, beliau turut menyeru seluruh rakyat agar menunjukkan kesetiaan kepada Raja dan negeri.
“Untuk sambutan Jubli Perak pada 17 ni, semua rakyat digalakkan pasang bendera dan hias kediaman dengan lampu. Tunjukkan kesetiaan kepada pemerintahan Tuanku. Keluarlah beramai-ramai sertai apa saja acara yang kita anjurkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025











