Pak Lah: Jasa besar kepada Pendidikan Islam j-QAF

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi memainkan peranan penting dalam memperkasakan Pendidikan Islam.

- Advertisement -

Menteri Besar itu berkata lagi, ketika pentadbiran mantan Perdana Menteri kelima itu dari tahun 2003 hingga 2009, program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) telah dilaksanakan.

Beliau berkata, ketika program itu diperkenalkan ramai graduan dalam bidang Pengajian Islam mendapat peluang pekerjaan sebagai guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Antara jasa beliau yang paling besar ialah pembangunan dan penerapan nilai Islam serta mengangkat sistem Pendidikan Islam di negara memperkenalkan program j-QAF pada tahun 2005.

“Ini adalah salah satu inisiatif penting pada zaman beliau yang memberi impak besar kepada pengukuhan amalan Islam di sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata lagi, Allahyarham Tun Abdullah juga merupakan watak penting pembangunan negeri di Pantai Timur.

Beliau berkata, di bawah pentadbiran Allahyarham, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan sebahagian Johor telah diperkenalkan.

Menurut beliau, ECER merupakan inisiatif kerajaan pusat selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Koridor Utara (NCER) di utara Semenanjung Malaysia.

“Khusus dalam aspek pembangunan di negeri Kelantan, pelan induk ECER diperkenalkan pada zaman pentadbiran Almarhum merupakan antara jasa besarnya untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi.

“Selain itu ia juga memacu lonjakan pembangunan sosioekonomi rakyat,” kata beliau yang turut menghadiri majlis solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Beliau ditemani Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan, Nazmi Ghazali Azmi.

Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Fadillah Yusof dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Selain itu, bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kelihatan hadir diiringi pegawai Jabatan Penjara Malaysia juga Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, yang lebih mesra dipanggil, Pak Lah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada jam 7:10 malam semalam.

Jenazahnya dikebumikan di bawah kubah Makam Pahlawan, Masjid Negara hari ini mengikut Istiadat Pengebumian Negara yang menjadi kepimpinan Malaysia kelima bersemadi. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

- Advertisement -