
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merangka pelan tindakan menangani kes-kes melibatkan orang kelainan upaya (OKU) bipolar.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, individu yang menghidap bipolar adalah pesakit dan bukan penjenayah.
“Pelaksanaan ke atas mereka tidak dapat dilaksanakan secara undang-undang kerana mereka selalunya bertindak di luar daripada batasan akal.
“Yang penting ialah kawalan keluarga supaya mereka ini mendapat rawatan yang sepatutnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri bagi menangani insiden melibatkan OKU bipolar.
Maliaman berkata, walaupun undang-undang sukar dikuatkuasakan terhadap OKU bipolar, orang awam masih tertakluk di bawah undang-undang seperti Akta 323 yang melarang perbuatan memukul atau mendera.
“Orang awam sepatutnya lebih rasional dan waras dalam bertindak berbanding OKU bipolar. Apabila orang awam bertindak di luar jangkaan, di situ kita nampak bagaimana tahap kesabaran dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkatkan.
“Individu yang bukan OKU seharusnya menjadi pengawal supaya penderaan atau kes-kes jenayah dapat dielakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025











