
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu disarankan untuk lebih agresif dalam memperkasa sektor pelancongan yang berfokus kepada pemuliharaan penyu di mana kini semakin terancam.
Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) berkata, jumlah kematian penyu dicatatkan setiap tahun semakin meningkat, terutamanya di kawasan Kerteh yang memberi kesan serius terhadap populasi spesies tersebut.
Beliau menggesa kerajaan negeri mengambil langkah terbaik bukan sahaja menjaga nasib nelayan mencari rezeki dengan memasang pukat malah untuk kelangsungan hidup penyu yang kebanyakannya mati lemas akibat terperangkap dalam alat tersebut.
“Apa tindakan yang telah dilakukan bagi mengawal kematian penyu di perairan Terengganu yang disebabkan oleh pukat-pukat tersebut?
“Apa usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerjasama bagi memastikan usaha pemuliharaan penyu ini berjaya?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Saiful Azmi juga berharap program-program seperti pelepasan anak penyu dapat dijadikan acara utama dalam Calendar of Events Terengganu 2025, untuk menggalakkan pelancong datang dan menyokong usaha pemuliharaan ini.
Menurutnya, Kerteh adalah lokasi tertinggi pendaratan penyu (Maa Da’erah dan Cakar Hutan) untuk bertelur dan seterusnya menetas sebelum dilepaskan kembali ke laut.
“Namun, terlalu banyak ancaman yang perlu diberi perhatian bagi memastikan ia mampu membesar hingga dewasa dan kembali bertelur di perairan Terengganu.
“Apakah perancangan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah ini dan pada masa sama merancakkan lagi sektor pelancongan berkaitan penyu khususnya di beberapa lokasi yang tinggi pendaratan di Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025











