Kayuhan MAIPs Peduli suburkan ‘Dakwah Bil Hal’

- Advertisement -

ARAU: Keprihatinan Institusi Diraja Perlis terhadap kebajikan rakyat terbukti apabila Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan melancarkan buku ‘Dakwah Bil Hal: 111 MAIPs Peduli Tahun 2024’ di Laman Warisan Arau, semalam.

- Advertisement -

Buku terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini merakamkan pelaksanaan 111 siri Kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kayuhan sejak 2013 mencecah 978 kali.

Program berkonsepkan ‘turun padang’ ini telah memberi manfaat terus kepada 51,028 penerima, dengan jumlah agihan zakat khusus sebanyak RM33.2 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, program ini merupakan cetusan ilham Tuanku Syed Faizuddin sendiri yang juga Yang DiPertua MAIPs, sebagai usaha menyampaikan bantuan secara langsung kepada golongan asnaf di seluruh negeri melalui pendekatan ‘dakwah bil hal’.

“Kayuhan MAIPs Peduli mencerminkan semangat mendekati rakyat, selaras dengan Pelan Strategik MAIPs 2021–2025 dan hasil daripada Transformasi Pengurusan MAIPs sejak 2011 bersama MAMPU,” ujarnya.

Menariknya, program ini turut mendapat perhatian akademik apabila Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menjalankan kajian bertajuk ‘The Importance of Islamic Regal Leadership in Zakat Delivery to the Asnaf in Perlis’.

Kajian yang menekankan betapa pentingnya peranan kepimpinan diraja dalam memastikan zakat sampai kepada yang berhak dan memberi kesan berpanjangan kepada kehidupan mereka.

Majlis ini juga menyerlahkan peranan Institusi Diraja sebagai payung rakyat dan simbol kepimpinan Islam yang benar-benar berjiwa ummah.

Program Kayuhan MAIPs Peduli kini dilihat bukan sahaja menjadi model pengurusan zakat yang berkesan, tetapi juga menyatukan masyarakat dengan semangat keprihatinan dan kasih sayang. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

- Advertisement -