Petugas DHPP bantu PN, berkampung di Ayer Kuning

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kelantan kini sedang giat membantu kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah, Perak.

- Advertisement -

Usaha itu dijayakan bersama parti komponen PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada ahli-ahli bersekutu Bersatu dan Gerakan bagi memenangkan calon PN, Ustaz Abdul Muhaimin Malek.

Pengerusi DHPP Kelantan, Lim Guan Seng berkata, meskipun kawasan itu sebelum ini dianggap kubu kuat Umno, namun perubahan dijangka berlaku pada PRK kali ini memandangkan isu-isu semasa yang kian menekan rakyat.

“Sebelum ini calon Barisan Nasional (BN) menang setelah calonnya memperolehi 9,088 undi, tetapi ketika itu BN dan calon PH (Pakatan Harapan) bertanding secara berasingan. Sekarang ini situasinya berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Menurut beliau, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, calon PH memperoleh 6,875 undi manakala calon PN meraih 6,812 undi di mana angka itu menunjukkan jurang tipis antara kedua-dua parti tersebut.

Katanya lagi, walaupun calon pihak lawan kini disokong oleh gabungan dalam Pakatan Harapan (PH), ia tidak menjamin kemenangan mudah buat mereka.

“Malah kenyataan pimpinan mereka sendiri yang mengingatkan tidak memandang rendah kepada saingan, membuktikan mereka sebenarnya berasa tergugat,” katanya.

Tambah Seng, calon PN tidak boleh dipandang remeh kerana gelombang kebangkitan rakyat semakin dirasai apabila ramai merungut tentang kegagalan kerajaan pusat menangani isu kos sara hidup yang terus meningkat.

“Rakyat berkemungkinan akan menjadikan PRK ini sebagai medan protes terhadap kegagalan kerajaan semasa. Bila rakyat rasa terhimpit, banyak perkara luar jangka boleh berlaku,” katanya.

Beliau memaklumkan, empat gelombang petugas DHPP akan digerakkan ke Ayer Kuning, dan kini gelombang pertama telahpun berada di lokasi bersama jentera parti lain seperti Gerakan dan Bersatu.

“Usaha ini menunjukkan kesepakatan semua pihak dalam PN yang bersungguh untuk membantu calon PN menang di Ayer Kuning,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2025

- Advertisement -