
TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek terus menunjukkan komitmen tinggi pada hari kedua kempen, semalam.
Dengan penuh tenaga dan semangat, beliau meluangkan masa menghadiri pelbagai program masyarakat, sekali gus membuktikan kesungguhannya untuk mendekati denyut nadi penduduk setempat.
Seawal pagi, Ustaz Muhaimin menunaikan solat Subuh berjemaah di Surau Simpang Tiga sebelum bersarapan bersama penduduk di Kedai Atan, dalam suasana santai yang memperlihatkan keakraban beliau dengan masyarakat.
Beliau kemudian menyertai program ‘Fun Walk’ anjuran Unit Daerah Mengundi (UDM) Simpang Tiga yang disertai sekitar seribu penduduk tempatan terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Acara terlihat meriah dan penuh kekeluargaan itu dimulakan dengan aktiviti senaman ringan dan ucapan ringkas daripada beliau sebelum membunyikan hon sebagai simbolik pelepasan peserta.
Turut hadir memberi sokongan ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Slim, Muhammad Zulfadli Zainal dan ADN Pengkalan Hulu, Mohamad Amin Roslan, serta ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari.
Tidak terhenti di situ, Ustaz Muhaimin turut menyertai program demonstrasi masakan berasaskan kurma anjuran UDM Tapah Road yang memperkenalkan pelbagai resipi inovatif berasaskan buah kurma.

Pada sebelah petang, Ustaz Muhaimin meluangkan masa menyantuni warga emas, asnaf dan penduduk uzur menerusi program Ziarah Mahabbah di Kampung Raya dan Jeram Mengkuang, selepas menunaikan solat Zohor di Masjid Jamek Tapah.
Kehadiran beliau membawa sinar kepada mereka yang diziarahi, khususnya yang terlantar sakit, malah ucapannya menyuntik semangat serta keinsafan.
“Saya datang ziarah sebagai bukti keprihatinan saya buat semua. Saya harap kehadiran saya dapat memberi kekuatan semangat buat orang yang saya ziarah serta seluruh ahli keluarga mereka sekali,” katanya.
Ustaz Muhaimin, 44, bukanlah asing dalam kalangan penduduk setempat atas penglibatannya dalam dunia pendidikan, dakwah dan kerja-kerja kemasyarakatan menjadikan beliau mudah didekati dan disenangi semua peringkat umur.
Dengan pengalaman, keprihatinan dan pendekatan mesra rakyat, beliau dilihat membawa harapan baharu untuk penduduk DUN Ayer Kuning. – HARAKAHDAILY 14/4/2025













