
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan bantuan sewaan rumah sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada 613 keluarga mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, pemberian bantuan ini amat dihargai dan disambut baik sebagai langkah awal pemulihan, namun timbul persoalan sama ada semua mangsa berjaya mendapatkan rumah sewa yang sesuai.
“Dengan jumlah mangsa yang ramai serta permintaan mendadak terhadap unit sewaan di kawasan sekitar, ada kemungkinan sebahagian keluarga masih belum memperoleh kediaman sementara,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial.
Menurutnya, lebih membimbangkan terdapat laporan mengatakan bahawa mangsa berdepan kesukaran menyewa rumah kerana dikenakan bayaran deposit yang tinggi, sehingga tiga bulan sewa oleh pemilik rumah.
Hal tersebut katanya, akan menyukarkan lagi mangsa yang terbabit untuk segera berpindah walaupun bantuan telah diumumkan oleh pihak kerajaan negeri.
Ustaz Sukri juga mempersoalkan sama ada Kerajaan Selangor turut menyediakan mekanisme tambahan seperti jaminan sewa, dana pendahuluan atau rundingan dengan pemilik rumah untuk meringankan beban mangsa.
Selain itu katanya, jika rumah yang diperoleh terletak jauh dari lokasi penting seperti sekolah anak-anak atau tempat kerja ibu bapa, maka kos perjalanan harian juga boleh menjadi beban tambahan yang besar.
Turut ditanya beliau sama ada kerajaan negeri juga ada mempertimbangkan bantuan tambahan seperti sokongan pengangkutan, subsidi mobiliti, atau penempatan semula yang lebih strategik bagi mengurangkan impak kepada kehidupan harian mangsa.
“Kita menghargai keprihatinan dan inisiatif kerajaan negeri, namun pelaksanaan bantuan ini perlu dipastikan benar-benar berkesan dan menyeluruh, terutama dari segi keperluan asas seperti tempat tinggal dan akses pendidikan anak-anak,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2025











