
TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek mengenal pasti beberapa isu setempat sepanjang beliau menyantuni masyarakat di sini.
Antara paling utama dikenal pasti ialah berkaitan pengurusan dan penyelesaian isu tanah wakaf serta tanah perkuburan Islam yang disifatkannya memerlukan perhatian segera dan penyelesaian jangka panjang.
“Buat masa ni saya sepanjang menyantuni masyarakat di DUN Ayer Kuning ni adalah dua tiga isu yang cuba dibincangkan untuk dipanjangkan buat masa. Yang terpenting sekali ialah isu tanah wakaf dan tanah kubur.
“Kita (usaha) jadi permudah cara untuk selesaikan selepas daripada ini insya-Allah,” katanya kepada media hari ini semasa menyertai program demo masakan berasaskan kurma Unit Daerah Mengundi (UDM) Tapah Road hari ini.
Beliau berkata, beberapa isu dikenal pasti sebagai kritikal dan akan dijadikan keutamaan untuk diselesaikan dengan kerjasama pihak berkaitan sekiranya diberi peluang mewakili rakyat di DUN berkenaan.
Mengulas pertemuannya dengan masyarakat Tionghua, beliau berkata, mereka mengemukakan beberapa aduan yang dibangkitkan membabitkan isu pengurusan sampah dan beliau akan berusaha mencari mekanisme terhadap perkara itu.
Katanya, beliau juga menerima pandangan pelbagai pihak termasuk warga emas yang menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan kampung sekiranya tiada penyertaan golongan muda.
“Kita mendekati pemuda melalui cara-cara yang sesuai dengan mereka, melalui kesukanan, aktiviti-aktiviti lasak dan kita cuba dapatkan juga apa perkara yang mereka perlukan dalam hidup sebagai pemuda dari sudut peluang-peluang pekerjaan yang mereka adukan kepada saya itu.
“Saya sekadar boleh memberikan jawapan kita akan ‘engaged’ dengan NGO-NGO untuk membantu mereka membuat perniagaan kecil-kecilan yang boleh ‘survived’ hidup mereka, untuk bantu kehidupan mereka dan mungkin keluarga mereka insya-Allah.
“Jadi saya pendekatan kita sesuai dengan pemudalah sebab pemuda harapan harapan kita. Kita cuba tanamkan perkara-perkara positif, pemikiran-pemikiran positif supaya dengan kudrat yang ada ni dapat diusahakan ‘established’ kita punya kehidupanlah,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu juga dibangkitkan oleh warga emas yang menyuarakan kebimbangan apabila anak muda berhijrah ke tempat lain.
“Ya itu pun diadukan oleh orang-orang tua mereka, bukan orang muda mereka, orang tua-tua kata anak-anak muda dia dah keluar dah tinggal kami dalam ni kan ni kalau kami ni habis seorang-seorang meninggal seorang-seorang kan dah tak ada dah kampung ni kan.
“Jadi saya ingat kita perlu jugalah memikirkan macam mana untuk kita hidupkan kampung itu sesuai dengan jiwa orang muda. Supaya orang muda dapat balik. Jadi kita nak rapatkan jurang antara orang muda, orang lama, jangan terpisah supaya kampung itu terjaga.
“Ada orang muda yang boleh menguruskan kampung tersebut, tidaklah orang-orang yang dah berusia kan,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah pada 26 April ini dengan pengundian awal pada 22 April. – HARAKAHDAILY 13/4/2025











