LRA Wakaf Bunut dihenti tugas akibat pencemaran

ADUN Limbongan, Ustazah Azilah Zin, bsersama pihak JAS, SPAN dan JSANK, meninjau sekitar LRA yang ditutup
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut terpaksa dihenti tugas sementara susulan insiden pencemaran air di Sungai Rasau yang menjadi sumber utama bekalan air ke muka sauk loji berkenaan.

- Advertisement -

Menurut laporan Unit Pengeluaran Jabatan Operasi, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kejadian berlaku sekitar jam 2:30 petang semalam apabila penduduk kampung memaklumkan terdapat aktiviti mengepam air dari kolam ikan ke sungai.

Difahamkan, kolam tersebut mengandungi bahan racun, dan tindakan mengepam air ke sungai yang mengalir ke muka sauk LRA Wakaf Bunut dikhuatiri mencemarkan sumber bekalan air mentah.

Bertindak atas maklumat itu, pihak loji telah menjalankan semakan di kawasan muka sauk dan mengambil beberapa sampel air untuk dianalisis dan hasil pemerhatian, tiada ikan yang mati berhampiran muka sauk.

“Walaubagaimanapun, atas faktor keselamatan dan keperluan semakan yang lebih terperinci, pihak AKSB mengambil keputusan untuk menghentikan pengoperasian loji buat sementara waktu,” jelas kenyataan tersebut.

Operasi loji dihentikan sepenuhnya bermula jam 3:15 petang dan dijangka disambung semula sekitar jam 10 malam, bergantung kepada hasil siasatan dan keadaan semasa.

Pihak loji turut memaklumkan bahawa laporan polis akan dibuat berhubung kejadian berkenaan bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, pihak Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan turun ke tapak bersama AKSB bagi menjalankan siasatan terperinci. – HARAKAHDAILY 13/4/2025

- Advertisement -