
TEMERLOH: Seorang pelajar PASTI Aqliah, Muhammad Yusuf Al-Amin Mohd Zaki Al-Jihadi, 6, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman di paru-paru, malam tadi.
Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor berkata, solat jenazah diadakan di Masjid Nurul Iman, Sungai Gau, di sini, sebelum Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Gau pagi ini.
“Kehilangan ini amat dirasai, namun kami redha dengan ketentuan Ilahi dan yakin Allahyarham kini berada dalam lindungan serta rahmat Allah SWT.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin dan syuhada, dan keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau turut hadir bersama ahli keluarga, sanak saudara, para guru dan masyarakat setempat dalam memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Muhammad Yusuf Al-Amin dilahirkan pada 27 Oktober 2019 dan merupakan pelajar di PASTI Aqliah, Temerloh dan Allahyarham dikenali sebagai anak yang ceria serta disenangi oleh guru dan rakan-rakannya.
Terdahulu, Allahyarham mula menunjukkan simptom masalah pernafasan kira-kira sebulan yang lalu dan telah menjalani rawatan serta ditahan di wad Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, selama hampir sebulan.
Pada hari ketiga Syawal, beliau dirujuk ke PPUM untuk rawatan lanjut sebelum menghembuskan nafas terakhir. – HARAKAHDAILY 11/4/2025











