
SUNGAI BULOH: Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras telah menerima aduan daripada penduduk tempatan berhubung keadaan bahu jalan yang tidak diselenggara di Jalan FT54 berdekatan Kolej Vokasional Sungai Buloh, di sini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pihaknya telah membuat aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan selanjutnya.
“Penduduk mengadu masalah yang diadukan telah berulang seperti sebelum ini. Sekiranya dibiarkan lama, lalang dan rumput yang panjang tersebut boleh mengganggu dan menghalang pandangan pengguna jalan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk dan pengguna jalan sentiasa terjamin.
“Diharapkan solusi terbaik dapat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya dalam menyelesaikan perkara ini agar keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya berkenaan terjaga dengan baik,” katanya.
Justeru, beliau turut menegaskan komitmen untuk terus memantau dan mengambil tindakan terhadap aduan yang melibatkan kepentingan dan keselamatan rakyat. – HARAKAHDAILY 11/4/2025











