Terengganu jemput anak perantau di Perak raikan Syawal

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu dengan penuh sukacita menjemput seluruh anak perantau yang berada di Perak untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Raya Anak Perantau Terengganu pada 12 April ini.

- Advertisement -

Majlis tersebut akan diadakan di Ghomah Kendughi, Kampung Changkat Larang, Lahat, Perak terbuka untuk kehadiran semua warga Terengganu yang berada di negeri tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, majlis itu merupakan peluang terbaik untuk berkumpul, bertemu mata dan mengeratkan kembali jalinan ukhuwah antara warga perantau.

“Di samping meraikan kemeriahan Syawal, majlis ini menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan warga perantau yang sentiasa dekat di hati.

“Semoga kehadiran kalian akan menyemarakkan lagi suasana majlis serta menyatukan hati-hati kita sebagai satu keluarga besar Negeri Terengganu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Majlis Ramah Mesra Perantau bersama kepimpinan PAS Negeri Terengganu telah diadakan di Dewan Kovensyen, Taman Tamadun Islam pada Khamis lalu.

Majlis yang berlangsung dari 8:30 malam hingga 11 malam itu turut mendapat sambutan meriah daripada perantau Terengganu yang tinggal di pelbagai negeri. – HARAKAHDAILY 8/4/2025

- Advertisement -