
HULU LANGAT: Letupan paip gas di Putra Heights telah mengejutkan seluruh negara, namun di sebalik tragedi itu, tersebar satu imej yang membuka mata ramai pihak.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, ia mengenai peta saluran paip gas nasional yang menunjukkan sumber utama gas datang dari Terengganu.
“Gas dari bumi Terengganu mengalir ke seluruh Semenanjung. Ia menyalakan rumah kita, menghidupkan kilang, menjana tenaga untuk jutaan rakyat Malaysia termasuk di Selangor.
“Terengganu adalah antara tunjang utama tenaga negara. Namun sehingga hari ini, royalti petroleum untuk negeri itu masih disekat,” ujarnya yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.
Menurutnya, perkara itu berlaku bukan kerana faktor teknikal atau perundangan, tetapi kerana rakyatnya memilih kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Ini bukan soal kecil. Ini persoalan pokok; soal prinsip demokrasi dan sempadan kuasa. Apa makna demokrasi jika keputusan rakyat dihukum?
Apa nilai keadilan jika hasil negeri diambil, tetapi hak yang termaktub tidak ditunaikan?” soalnya.
Kata beliau, letupan kebakaran yang berlaku tersebut bukan sekadar kemalangan, tetapi ia menjadi tamparan dan titik renungan betapa sebuah negeri yang begitu besar sumbangannya kepada negara, terus dinafikan haknya atas alasan politik.
“Kami rakyat Selangor juga merasa malu. Kami menggunakan sumber dari bumi Terengganu; dalam keadaan kami tahu negeri itu sedang dinafikan haknya.
“Sebagai warganegara yang beriman dan berakal, kami tidak boleh memejamkan mata terhadap ketidakadilan yang terang berlaku. Kami mukallaf; terikat dengan tanggungjawab moral dan syarak untuk menilai antara hak dan batil.
“Ini bukan lagi soal sentimen. Bukan soal politik. Ini soal kezaliman yang dibiarkan berlaku. Soal keberkatan rezeki yang menentukan warna dan corak negara,” ujarnya justeru menasihati Kerajaan Persekutuan wajar bermuhasabah.
Beliau menggesa agar menghentikan amalan mendiskriminasi negeri atas asas perbezaan politik, sebaliknya tunaikan hak yang termaktub dalam perjanjian dan Perlembagaan.
“Hormati pilihan rakyat. Luruskan kembali neraca keadilan. Kerana kestabilan negara tidak mungkin dibina di atas ketidakadilan dan penindasan,” peringat beliau. – HARAKAHDAILY 3/4/2025











