Hampir 30 terima khidmat Skuad Bantu Kuala Krai

- Advertisement -

KUALA KRAI: Hampir 30 kenderaan yang mengalami kerosakan, termasuk kemalangan, telah dibantu oleh Skuad Bantu Kuala Krai dalam tempoh tiga hari, bermula sehari sebelum Aidilfitri sehingga 1 Syawal.

- Advertisement -

Sebanyak 57 orang anggota bertugas dalam skuad ini, masing-masing ditempatkan di laluan dari Gua Musang hingga ke Machang.

Selain itu, skuad bantu juga turut mengawal selia laluan dari Jeli hingga ke sempadan Jerteh, Terengganu.

Exco Kerajaan Negeri, Hilmi Abdullah berkata, antara kerosakan yang ditangani selain kemalangan jalan raya, skuad bantu mengurus masalah kerosakan kipas angin kereta, tayar pancit, masalah enjin, serta kotwk gear tidak berfungsi dan lain-lain.

Katanya, bagi kenderaan yang perlu dihantar ke bengkel, Skuad Bantu akan menguruskan bersama pemilik kenderaan.

Selain itu, menurut Hilmi, Team Skuad Bantu Tanah Merah turut membantu, termasuk menghantar mangsa kerosakan kenderaan sehingga ke Machang.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pengguna jalan raya agar mengelak daripada menggunakan jalan alternatif kerana sukar dimasuki pasukan bantuan, terutamanya jika kenderaan mereka tidak berada dalam keadaan baik.

“Elakkan guna jalan alternatif yang ‘hardcore’ khususnya pada waktu malam atau jalan yang tiada dalam peta sekadar untuk mengelak kesesakan,” katanya.

Sementara itu, anggota skuad, Aiman Morsi, turut meluahkan kebimbangan dalam kumpulan komunikasi skuad mengenai pengguna jalan raya yang memilih laluan kampung bagi mengelak kesesakan.

“Apabila kereta rosak di lokasi sukar, pasukan bantuan tidak dapat turun membantu kerana lokasi mereka tidak dapat dikesan dengan baik oleh Google Maps dan aplikasi lain,” katanya.

Untuk makluman, operasi rasmi Skuad Bantu hanya berlangsung tiga hari sebelum Hari Raya dan berakhir pada 1 Syawal bagi memastikan semua dapat pulang beraya dengan selamat.

“Jika ada anggota yang masih membantu selepas itu sehingga hari ini, ia adalah atas inisiatif sukarela mereka sendiri,” tambahnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Skuad Bantu Kuala Krai, Tanah Merah, serta pasukan lain yang bertungkus-lumus membantu pengguna jalan raya sepanjang tempoh perayaan ini. – HARAKAHDAILY 2/4/2025

- Advertisement -