
KUALA TERENGGANU: Keputusan Kerajaan Negeri Terengganu melarang aktiviti busking dalam 10 malam terakhir Ramadan diterima dengan matang oleh penggiat seni jalanan, meskipun ia memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi menghormati permintaan masyarakat yang ingin menumpukan lebih banyak masa kepada ibadah dalam tempoh istimewa ini.
“Ketika bertemu bersama mereka malam tadi, saya nyatakan apakah hasrat dan tujuan kerajaan negeri membuat larangan busking di 10 hari terakhir Ramadan ini.
“Mereka juga faham dan akur dengan arahan tersebut yang secara prinsipnya amat bagus. Namun oleh kerana notis dan pemakluman yang singkat, ianya telah mendatangkan keresahan buat mereka.
“Saya nyatakan bahawa keputusan yang dibuat itu sememangnya tidak popular untuk diterima oleh penggiat busker dan sememangnya kerajaan negeri serta saya juga turut menerima tempias,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada enam orang busker sebagai tanda sokongan kerajaan negeri terhadap komuniti seni.
“Semoga dapat dimanfaatkan untuk persiapan Aidilfitri nanti, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Terengganu melarang semua aktiviti ‘busking’ atau persembahan muzik jalanan pada 10 malam terakhir Ramadan.
Peraturan itu dibuat bertujuan menghormati dan memelihara kemuliaan 10 malam terakhir Ramadan. – HARAKAHDAILY 27/3/2025












