
KUALA TERENGGANU: TDM Berhad (TDM) terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni 200 asnaf melalui program TDM Bersama Masyarakat DUN Bukit Besi.
Program ini merupakan hasil kerjasama antara TDM dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Besi, dengan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi membantu golongan yang memerlukan sempena bulan Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, program tersebut adalah manifestasi hasrat syarikat untuk bersama-sama membangunkan komuniti khususnya di Bukit Besi ke arah masa depan yang lebih berkat.
“Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur melalui keuntungan kewangan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangan dan impak positif yang dapat kami kongsi kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis perasmian disempurnakan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan turut hadir Pegawai MAIDAM Daerah Zon Selatan serta mewakili syarikat, Hamidah Abd Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim serta barisan pengurusan TDM.
Mengulas lanjut beliau berkata, program itu selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), khususnya Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Mampan yang bertujuan memastikan kawasan penempatan dan komuniti menjadi lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.
“TDM menyokong matlamat ini demi memperkukuh kesejahteraan komuniti. Program ini membantu memperbaiki kualiti hidup masyarakat setempat, khususnya dalam aspek kebajikan dan barangan asas.
“Dengan menyantuni golongan yang memerlukan, TDM menyumbang kepada kebajikan masyarakat yang turut menitikberatkan keseimbangan sosial dan ekonomi dalam setiap inisiatif yang dijalankan.
“Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, kami bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan tetapi juga kepada kesejahteraan masyarakat.
“Program ini adalah salah satu cara untuk kami memahami keperluan komuniti dan memastikan bantuan yang disalurkan memberi manfaat jangka panjang,” katanya.
Tambah Najman, TDM turut berhasrat untuk memperluaskan program ini ke kawasan lain di Terengganu bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat daripada inisiatif kebajikan yang dijalankan.
“Diharapkan usaha ini dapat memberi manfaat kepada golongan sasar dan mencetuskan lebih banyak inisiatif seumpama ini oleh pelbagai pihak lain demi kesejahteraan bersama.
“Kejayaan program ini mencerminkan komitmen TDM dalam menyokong kesejahteraan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan mampan yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2025











