Minuman berais gagalkan diet kurus?

- Advertisement -

PELBAGAI andaian serta mitos berkenaan kesan tabiat meminum air berais yang sering diperkatakan masyarakat.

Antaranya, minum air berais boleh menyebabkan lemak membeku dan berat badan sukar turun, sebaliknya kata mereka minuman panas
akan membantu mencairkan lemak.

Namun merujuk kepada Bahagian Permakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disiarkan oleh Portal Rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (2022) andaian itu kurang tetap sama sekali.

Minuman berais tidak menyebabkan berat badan susah menurun atau berisiko menyebabkan obesiti, malah kandungan lemak tetap akan sama walaupun minum air panas atau ais beku.

Minuman berais atau panas apabila ditambahkan gula atau lemak, itu sebenarkan akan meningkatkan jumlah pengambilan kalori di dalam badan.

Apabila kalori berlebihan, ia akan menjadi lemak dan seterusnya menyebabkan masalah berat badan dan obesiti.

Seterusnya, fahaman mengatakan minuman berais juga menyebabkan lemak membeku atau menggumpal di dalam usus, juga tidak tepat.

Ketul ais yang dimasukkan ke mulut pun sudah cair, bagaimana mungkin akan kekal beku sebelum sampai ke perut.

Ketul ais boleh mencair dan berubah suhu di dalam mulut malah suhu ais akan beradaptasi mengikut kesesuaian tubuh badan disebabkan oleh sistem ‘thermoregulation’ yang mengawal suhu mengikut suhu badan.

Lemak yang dimakan akan dicernakan oleh enzim lipase kepada bentuk yang lebih kecil terlebih dahulu sebelum diserap oleh usus kecil.

Jika lemak menggumpal selepas minum ais, bagaimana lemak tersebut dapat diserap oleh usus sebab saiz partikelnya terlalu besar.

Oleh itu minum air berais bukanlah menyumbang kepada kegemukan melainkan bercampur gula dan lemak seperti minuman berperisa, teh, kopi ais, minuman coklat, minuman berkarbonat, teh boba dan sebagainya.

Keadaan itulah sebenarnya yang boleh menternak lemak dalam badan dengan jayanya tanpa mengira minuman itu panas, sejuk atau berais. – HARAKAHDAILY 22/3/2025

- Advertisement -
- Advertisement -