
PERDANA Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu menghentikan tabiatnya yang suka membebel secara berlebihan, bahkan banyak melalut dan mengarut. Lebih jelik adalah ucapan yang tidak selari tindakan, ‘cakap tak serupa bikin’ dan memungkiri janji, malah ada bohong dan juga fitnah.
Beliau bukan lagi politikus pembangkang seperti dahulu yang patut beretorik berdegar-degar, mengejar penuh keinginan jawatan Perdana Menteri. Tetapi kini sudahpun berada di kerusi itu lebih dua tahun, namun cakap masing pusing sana, pusing sini entah ke mana mahu dibawa Malaysia?
Tidak kurang dilihat bercakap mempertahankan atau tenggelam dalam agenda dibawa DAP walaupun tuturnya menafikan berkali-kali. Terkini berhubung isu Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilihat Anwar sendiri lebih ke hadapan berbanding Menteri KPKT, Nga Kor Ming.
Kononnya Anwar, dialah terpaling juara membela Melayu yang tidak mahu beliau lihat hidup menghuni dalam persekitaran daif, miskin dan usang di bandar-bandar. Hakikatnya, politikus seperti beliaulah yang selama ini memperdaya dan membiarkan rakyat terutamanya Melayu terabai di bandar-bandar.
Mana pergi aparatus yang sepatutnya menyelia dan menyelenggara sekonyong-konyongnya struktur dan landskap perumahan strata di bandar? Mana pergi peruntukan yang wajar sebagai pembiayaan untuk tujuan tersebut bagi memberdaya kehidupan warga sedia menghuni?
Kegagalan tadbir urus tatakelola dahululah yang membiarkan kehidupan bak merempat seperti itu wujud di bandar-bandar. Kemiskinan melarat tersebut sengaja diabaikan untuk dijadikan senjata sang politikus dan aparatus bagi terus mengikat dan merantai undi rakyat.
Ketika PM menguarkan kejayaan membasmi kemiskinan tegar di Ibu Negara telah mencapai 100 peratus, laporan agensi PBB iaitu UNICEF mendedahkan sebaliknya. Bilangan isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan relatif dan mutlak di Kuala Lumpur kekal pada 41 peratus pada Oktober 2023.
Kekayaan bandar hanya dinikmati oleh segolongan kecil tertentu, sedangkan rakyat kebanyakan terutamanya Melayu bergelut untuk segenggam nasi. Menyedihkan apabila bangunan kediaman strata bersama mereka yang sebahagiannya menjadi tanggungjawab kerajaan, tapi diketepikan.
Kini Anwar tampil mahu mengubah semua itu; soalnya sebagai pejuang atau petualang? Kerana terlihat dasar-dasar Kerajaan Madani kini tidak pun memihak rakyat. Segala keperluan marhaen semakin hilang dan mahal, yang untung kartel dan kroni. Belum lagi subsidi dan royalti yang dimungkiri.
Lebih lagilah hartanah yang sejak sekian lama menjadi nafsu menggila para pemaju kapitalis mahu mengambil alih hak milik dengan pelbagai cara – halus dan kasar! Anwar, jangan butakan mata, sejak pemerintahan anda berapa banyak penempatan Melayu sudah dilenyapkan?
Atas nama pembangunan kononnya, penduduk asal terutama Melayu dan India yang miskin terusir keluar akhirnya tanpa rumah ganti. Siapa taikun-taikun yang berjaya mendapatkan tanah-tanah tersebut? Betapa rakusnya mereka, tanah kubur juga malah turut dibongkar.
Tidak perlu pergi jauh, bentangkan sahaja bukti di Selangor yang diperintah oleh parti diketuai Anwar dan pernah menikmati gaji seikhlas RM1. Setakat mana telah melakukan pembaharuan hidup rakyat khususnya Melayu dan India di kediaman strata di seluruh negeri termaju dalam Malaysia itu?
Juga kemukakan data perubahan demografi kaum sebelum dan selepas sesuatu pembangunan semula yang telah pernah dilaksanakan. Seperti yang berlaku di Kampung Kerinchi, Razak Mansion, Abdullah Hukum dan lain-lain itu. Gentrifikasi pasti berlaku dengan lebih buruk jika URA diwujudkan.
Lihat Pulau Pinang negeri kelahiran Anwar, di sini penduduk miskin terutama Melayu telah disakiti sebelum adanya URA. Pemerintahan DAP ghairah dengan pembangunan mewah yang menjadi keutamaan termasuk rumah kediaman. Itulah juga taktik licik muslihat politik mereka.
Akhirnya penduduk asal terusir secara sistematik dan kampung-kampung Melayu tradisi akhirnya lenyap sebagaimana pernah berlaku di Singapura. Maka berubah jugalah pola kependudukan yang akhirnya turut mengakibatkan pegangan politik dan kuasa Melayu juga pupus.
ISZUREE IBRAHIM
Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat
Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 14/3/2025











