
KUALA LUMPUR: Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyelar kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berhubung suntikan dana kerajaan terhadap Sapura Energy Berhad bukan ‘bailout’, sebaliknya pelaburan strategik.
Menerusi satu video berdurasi tiga minit di laman sosial Facebook, beliau secara sinis turut membuat carian menerusi beberapa medium termasuk kamus Cambridge dan buku jurnal terkemuka, Jurnal of Banking and Finance.
“Soalnya betul ke bukan ‘bailout’. Mari kita tengok makna ‘bailout’ dalam konteks ekonomi dan kewangan ini daripada kamus Cambridge. Makna ‘bailout’ adalah pinjaman atau sokongan kewangan yang diberikan kepada syarikat yang menghadapi masalah kewangan.
“Kita lihat contoh penggunaan perkataan di sini, jurucakap kerajaan perpaduan menjelaskan bahawa ‘bailout’ RM850 bilion bagi bank-bank yang bermasalah adalah wajar. Tengok kamus pun siap bagi conoh jurucakap kerajaan.
“Cuma jurucakap kerajaan yang tu mengakulah bahawa itu ‘bailout’. Ini daripada kamus pelaburan Investopedia saya ringkaskan ‘bailout’ ialah apabila kerajaan memberikan suntikan modal kepada Syarikat yang mempunyai masalah kewangan.
“Tindakan ini membantu untuk mengelakkan kesan daripada kegagalan syarikat tersebut menjadi muflis dan gagal membayar hutangnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Putrajaya itu menegaskan secara keseluruhan, perkara yang berlaku dalam Sapura Energy adalah ‘bailout’.
“Kalau kita lihat dengan semua makna yang saya dah jelaskan tadi dan kajian yang dibuat apa yang berlaku dalam konteks Sapura Energy ini suka atau tidak adalah satu ‘bailout’.
“Saya harap penjelasan ini dapat membantu Menteri Komunikasi mendapat pemahaman yang lebih mendalam. Apa yang susah sangat nak jelaskan bahawa secara hakikat dan ‘substanc’nya adalah satu ‘bailout’. YB Menteri jalan lurus sahaja tidak perlu pusing-pusing,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Sapura Energy menerusi pemfailan di Bursa Malaysia pada Selasa mengumumkan telah menerima RM1.1 bilion sebagai pelaburan daripada syarikat tujuan khas di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Pelaburan tersebut akan digunakan secara eksklusif untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada lebih 2,000 vendornya, setelah Sapura Energy mula mengalami masalah kewangan sejak 2019 apabila mencatatkan kerugian tahunan yang berterusan.
Tiga tahun lalu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Pembangkang, mengkritik cadangan kerajaan untuk menyelamatkan Sapura Energy yang dibebani hutang. – HARAKAHDAILY 14/3/2025











