
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya mengemukakan laporan audit seperti didakwa dibuat terhadap syarikat Sapura Energy Berhad (SEB) yang telah diberikan suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion.
Penganalisis politik, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, audit tahunan syarikat yang dibuat oleh firma Ernst & Young (EY) terhadap SEB dan audit forensik adalah dua perkara berbeza.
“Audit forensik bertujuan untuk menyiasat kecurangan, penipuan atau aktiviti jenayah kewangan dalam sesebuah syarikat.
“Audit tahunan pula bertujuan untuk mengesahkan ketepatan penyata kewangan syarikat agar ia mematuhi piawaian perakaunan yang ditetapkan.
“Cuba kita baca kenyataan PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) semalam, ‘ketekunan wajar’ (due dilligence) tambahan akan dilaksanakan dan dapatan ini akan dikongsi kepada agensi penguatkuasaan’.
“Agak-agak audit mana yang akan bantu agensi penguatkuasaan buat kerja? Audit tahunan atau audit forensik? Itu dia pengesahan dari PMX bahawa sebenarnya audit forensik yang dicadangkan oleh PMX tak dibuat pun oleh PMX sebelum dia ‘bailout’ SEB,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, audit berakhir tahun kewangan 31 Januari 2024 oleh EY telah mengesahkan beberapa perkara, antaranya SEB mencatatkan kerugian terkumpul kumpulan dan syarikat sebanyak RM518.7 juta dan RM430 juta.
“Liabiliti semasa kumpulan dan syarikat telah melebihi asset semasa masing-masing sebanyak RM14.528 billion dan RM2.173 billion dan SEB berhadapan dengan potensi kecairan yang teruk.
“EY berpandangan kewujudan ketidakpastian material yang mungkin menimbulkan keraguan signifikan terhadap kemampuan kumpulan dan syarikat untuk terus beroperasi sebagai perniagaan yang berterusan.
“Dari dapatan audit oleh EY ini sebenarnya terdapat keraguan yang sangat tinggi terhadap kemampuan SEB untuk membayar semula pinjaman atau pelaburan strategik atau suntikan modal diberikan oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2025











