
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu ini.
Pelancaran itu akan diadakan di Padang Awam Tapah Road, Tapah pada jam 10 malam.
Pengarah Pilihan Raya PN yang juga Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dijangka merasmikan program ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang mengalami serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi dalam pertembungan lima penjuru, mengatasi calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
PRK ini adalah yang ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu Parlimen Kuala Terengganu, DUN Simpang Jeram, Parlimen Pulai, DUN Pelangai, DUN Jepak, Parlimen Kemaman, DUN Kuala Kubu Baharu, DUN Sungai Bakap, DUN Nenggiri dan DUN Mahkota. – HARAKAHDAILY 12/3/2025











