Tetapkan syarat minimum pengalaman doktor di hospital baru

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menggesa kerajaan supaya menetapkan syarat minimum pengalaman bagi doktor yang bertugas di hospital baharu, khususnya di Hospital Bachok, yang masih belum mempunyai pakar perubatan. 

- Advertisement -

Beliau berkata, hospital tanpa pakar memerlukan sekurang-kurangnya pegawai perubatan kanan atau doktor berpengalaman bagi memastikan diagnosis yang tepat serta pelaksanaan prosedur rawatan yang berkesan. 

“Seperti kita sedia maklum bahawa Hospital Bachok adalah hospital tanpa pakar. Jadi kita memerlukan seorang ataupun pegawai perubatan ataupun doktor yang berpengalaman, sekurangnya pegawai perubatan kanan untuk menentukan diagnosis dan juga untuk proses melaksanakan prosedur rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Wan Martina turut berkongsi pengalaman peribadi mengenai seorang rakan akrab yang meninggal dunia akibat kelewatan mendapatkan rawatan di hospital besar, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak bagi memastikan tenaga perubatan yang bertugas di hospital baharu memiliki pengalaman mencukupi. 

“Adakah kerajaan menentukan satu syarat minima kepada pengalaman doktor-doktor yang akan bertugas di di hospital baharu terutamanya Hospital Bachok ini?” soalnya.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata pihaknya mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan dan akan merujuk perkara itu kepada Bahagian Perkembangan Perubatan bagi menentukan kesesuaian penempatan doktor berpengalaman di hospital baharu.

“Saya akan berhubung terus dengan Yang Berhormat Senator sekiranya ada cadangan dan juga penempatan pakar kita akan maklumkan kepada pengarah hospital dan kita ambil berat berkenaan tentang perkara ini,” katanya.

Dalam soalan asal, Wan Martina meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah faktor yang menyebabkan Hospital Bachok belum dapat beroperasi sepenuhnya dan bilakah Wad Bersalin dan Wad Kanak-Kanak akan dibuka. – HARAKAHDAILY 11/3/2025

- Advertisement -