Maahad Muhammadi GM sekolah rintis TVET

- Advertisement -

KOTA BHARU: Maahad Muhammadi Gua Musang bakal dijadikan sekolah perintis bagi melaksanakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas Pertanian.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya komited melaksanakan agenda Kerajaan Pusat itu.

Kerajaan negeri katanya, merancang untuk menyediakan latihan dalam bidang pengeluaran tanaman dengan kerjasama institusi pendidikan, pondok, maahad tahfiz dan pusat latihan pertanian.

“Saya berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai anak-anak muda untuk menceburi bidang pertanian dan pengeluaran tanaman.

“Tetapi juga mampu mengangkat sektor ini sebagai salah satu pemacu ekonomi yang lestari di Kelantan,” katanya dalam satu kemas kini di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu menghadiri satu sesi pembentangan mengenai cadangan TVET di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Turut hadir Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof, Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman, dan Pengurus Besar Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Mohd Mukhlis Mukhtar. – HARAKAHDAILY 10/3/2025

- Advertisement -