Kerugian besar universiti awam, kerajaan diminta beri penjelasan

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beberapa universiti awam dilaporkan mengalami kerugian berturut-turut sejak 2021 hingga 2023, dengan jumlah kerugian yang mencecah ratusan juta ringgit.

- Advertisement -

Menurut Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), antara universiti yang terjejas ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Katanya, ketidakseimbangan antara geran mengurus dan pendapatan janaan sendiri, seperti yuran pelajar, menyebabkan institusi ini tidak mampu menampung kos operasi mereka. 

“Tiga daripada lima agensi yang mengalami kerugian besar secara berturut-turut dengan nilai yang sangat tinggi ini adalah daripada sektor pendidikan tinggi negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyertai ucapan perbahasan terhadap usul laporan Ketua Audit Negara, Penyata Kewangan Agensi Kerajaan Persekutuan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau meminta kerajaan menjelaskan langkah yang sedang dan akan diambil bagi mengatasi masalah itu serta kesannya terhadap operasi universiti.

“Apakah langkah kementerian yang bertanggungjawab bagi mengatasi kemelut ini?

“Apakah impak semasa terhadap operasi universiti dengan kerugian yang mencecah puluhan malahan ratusan juta ringgit ini? Bagaimana langkah semasa yang diambil oleh universiti?” soalnya.

Selain itu, beliau ingin tahu sama ada universiti lain turut mengalami keadaan yang sama. 

“Bagaimana dengan universiti-universiti yang lain? Apakah mereka juga mengalami nasib yang sama? Kesemua ini memerlukan penjelasan yang lebih lanjut daripada kementerian yang terlibat. Mohon perhati dan penjelasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2025

- Advertisement -