Kerajaan perlu lunas bayaran kepada syarikat keselamatan

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyelesaikan bayaran tertunggak kepada syarikat keselamatan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal membayar gaji pekerja mengikut kadar yang telah diselaraskan. 

- Advertisement -

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, ramai anggota tentera yang bekerja dalam sektor keselamatan, khususnya di bawah Kementerian Pendidikan, tidak menerima gaji yang sepatutnya kerana majikan mereka juga belum menerima bayaran daripada kerajaan. 

Menurutnya, keadaan itu juga menyebabkan majikan tidak mampu membayar pekerja mengikut kadar yang telah ditetapkan. 

“Ada satu kes terbaharu yang saya dapat di Mahkamah Buruh Kangar pada 6 Disember 2024, di mana sebuah syarikat diarahkan membayar RM25,800 kepada seorang pekerja, sedangkan syarikat itu sendiri belum menerima bayaran daripada kerajaan. 

“Bagaimana mereka mahu membayar pekerja jika kerajaan sendiri belum melunaskan bayaran kepada mereka?” katanya ketika mencelah pada sesi penggulungan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) oleh menterinya, Steven Sim di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk membekukan sementara tindakan terhadap syarikat yang masih menunggu pembayaran kerajaan. 

“Saya mencadangkan agar tekanan utama diberikan kepada pihak kerajaan supaya melunaskan bayaran yang sewajarnya kepada majikan. Dengan itu, majikan dapat menunaikan tanggungjawab mereka untuk membayar gaji pekerja mengikut bayaran yang sewajarnya kepada pekerja.

“Saya berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan. Selain itu, saya juga mencadangkan agar Yang Berhormat Menteri mengadakan pertemuan dengan Persatuan Kontraktor Kebersihan dan Keselamatan, yang telah banyak menyuarakan kebimbangan mengenai isu ini, untuk membincangkan dengan lebih lanjut,” katanya.

Sementara itu, Steven Sim berkata, kerajaan telah menyediakan mekanisme penyelarasan harga kontrak bagi syarikat kontrak kerajaan setiap kali kadar gaji minimum dinaikkan.

“Kalau sebuah syarikat itu dia ingin bekerjasama ataupun urus niaga dengan kerajaan, dia harus mempunyai perancangan yang lebih teliti, lebih teratur,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

- Advertisement -