Sektor pelancongan diperkasa dengan pelbagai inisiatif

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) terus memperkasa sektor pelancongan dengan pelbagai inisiatif dan program biarpun Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024) telah berakhir.

- Advertisement -

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan adalah peningkatan kualiti perkhidmatan pelancongan bagi memastikan pengalaman terbaik kepada para pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, lima strategi disusun bagi menjayakan hasrat berkenaan.

Menurut beliau, antaranya Pembangunan Infrastruktur Pelancongan, Promosi dan Pemasaran Pelancongan, Penggalakan Produk Pelancongan, Penggalakan Produk Pelancongan dan Penyelenggaraan Kebersihan dan Keindahan Bandar.

Katanya, bagi menjayakan hasrat berkenaan, MPKB-BRI akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan di Kota Bharu.

“Ini termasuk kerja-kerja pembersihan sampah, penyelenggaraan taman-taman, serta pengindahan landskap bagi mewujudkan suasana bersih, nyaman, dan menarik untuk pelancong serta penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Meraikan Pemain Industri Pelancongan Dalam Kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua MPKB-BRI, Azi Rahimee Mohamed, ketua-ketua jabatan MPKB-BRI, selain turut diraikan pemandu pelancong, pengusaha hotel, penarik beca serta rakan-rakan media dan lain-lain jemputan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan program-program sepanjang TMK 2024.

Antara program utama yang dianjurkan ialah Madinah Ramadan 1446H/2025M, yang merupakan acara tahunan MPKB-BRI sempena bulan Ramadan.

Program ini telah bermula sejak tahun 1993 dan menjadi salah satu acara keagamaan yang paling dinanti-nantikan di Kelantan.

Selain itu, pada 1 Februari  lalu, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud telah merasmikan program Indahnya Kelantan sebagai kesinambungan kepada TMK 2024.

Katanya, program ini bertujuan untuk mempromosikan keindahan dan keunikan negeri dalam aspek pelancongan, kebudayaan, kesenian, warisan, serta makanan tradisi.

“Diharapkan program ini dapat meningkatkan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Jewels Hotel, Muhammad Azrin Zainal Abidin mendapat Anugerah Khas Perhotelan – Ikon Perhotelan. – HARAKAHDAILY 20/2/2025

- Advertisement -