
MACHANG: Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Temangan tahun ini berlangsung dengan penuh warna-warni dan semangat perpaduan.
Program Jalinan Mesra Antara Kaum yang diadakan setiap tahun terus mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat, khususnya kaum Tionghua di Temangan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sambutan ini membuktikan keharmonian serta hubungan erat yang terjalin dalam komuniti setempat.
“Masyarakat yang hadir memeriahkan majlis hari ini menunjukkan bahawa program ini telah menjadi sebahagian daripada tradisi tahunan yang dinanti-nantikan,” ujarnya.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tokong (Gedung) Persatuan Buddhist Temangan itu diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan kebudayaan, jamuan makan bersama, serta sesi ramah mesra antara penduduk pelbagai kaum.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan program ini dan juga menyampaikan ‘Ang Pau’ kepada tetamu yang hadir.
Terdahulu, beliau berkesempatan mengunjungi rumah masyarakat Tionghua di beberapa lokasi, termasuk Kampung Kelaweh, Kampung Pasir Sena, Bandar Temangan, dan Kampung Cina (Chekok Mengkudu).
Setiap rumah yang dikunjungi semasa hari perayaan itu hujung bulan lalu, beliau disambut dengan penuh kemesraan dan keramahan.
“Paling seronok, semangat perpaduan dan persahabatan yang ditunjukkan membuatkan kita rasa seperti keluarga.
“Tahun Baru Cina kali ini bukan sahaja tentang sambutan, tetapi juga tentang mengukuhkan ikatan antara kaum dengan penuh kegembiraan,” katanya.
Tambahnya, sambutan ini sekali lagi membuktikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Kelantan.
“Ia mencerminkan hubungan erat antara kaum di negeri ini”, ujarnya mengagumi pelbagai tradisi dan hidangan istimewa yang disajikan turut memeriahkan suasana sambutan berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/2/2025













