
PUCHONG: Seni mempunyai hubung kait dengan jiwa manusia yang sesuai dengan fitrah, tidak kira sama ada seni nyanyian, muzik, tarian, lukisan, binaan, pakaian dan kecantikan jika dilakukan kerana Allah SWT.
Ketua Ulamak PAS Selangor, Ustaz Dr Mohd Zamri Zainuldin berkata, seni mampu mempengaruhi manusia dalam membina sikap, keperibadian dan kemahiran intelektual mengikut kesesuaian zamannya.
“Apabila kita menelusuri seni dalam Islam, sememangnya pada zaman Nabi Muhammad SAW telahpun mengiktiraf seni. Oleh itu, bagaimana kita boleh menafikan kewujudan seni? Seni telah menjadi sebahagian darah daging dalam kehidupan manusia.
“Pertama, kita lihat seni mempunyai unsur rohani dan jasmani. Seni juga mengandungi elemen emosi. Contohnya ketika seseorang itu sedang berduka, bergembira, bersemangat dan sebagainya,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong.
Beliau mengulas demikian dalam program wacana ‘Seni Berkiblat’ sempena Himpunan Anak Seni anjuran Lestari Pusat dengan kerjasama Muslim Care Malaysia Society bertempat di Espira Kinrara Resort, 9 Februari lalu.
Hadir memeriahkan himpunan adalah Pengerusi Lestari Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor dan pendakwah tersohor, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dengan majlis diketuai Pengarah Himpunan, Harlina Yang Bakri.
Turut bersama adalah Ahli-ahli Jawatankuasa Muslim Care Malaysia Society dan beberapa artis jemputan yang terdiri dari pelbagai latar belakang kesenian.
Dalam pada itu, Ustaz Zamri dalam kupasan lanjutnya menjelaskan betapa pada zaman Nabi Muhammad SAW juga kesenian turut telah wujud dalam masyarakat.
“Hal ini dapat dibuktikan melalui kemunculan Sahabat RA Baginda yang bernama Hasan bin Tsabit bin al-Mundziri bin Haram al-Khazraji.
“Walaupun, Hassan bin Thabit tidak berperang dengan pedang dalam setiap peperangan seperti apa yang dilakukan oleh kaum muslimin melawan kaum kafir Quraisy, namun beliau telah menundukkan musuh-musuhnya ketika itu menggunakan syair sindiran dan ejekan.
“Syair yang disampaikan Hassan banyak berkisahkan hari kebangkitan, hari pembalasan dan sebagainya.
“Di samping itu, pada zaman Nabi Muhamad SAW juga dibenarkan menggunakan alat muzik seperti pukulan gendang untuk memberi semangat kepada tentera untuk berjihad di jalan Allah SWT,” ujarnya.

Seni juga jelasnya, adalah sebagai satu proses pendidikan bersifat positif dan tidak lari daripada batas-batas syariat selagi dapat membimbing manusia ke arah kehidupan yang lebih bertamadun dan beradab.
“Kesenian Islam tidak bermotifkan hiburan semata-mata, malah ianya menjurus ke arah mentarbiah masyarakat menjadi insan yang beriman, berakhlak, berilmu dan beramal soleh.
“Oleh itu, sesuatu itu bukanlah dianggap seni sekiranya ia tidak dapat menjalankan fungsinya untuk membimbing manusia ke arah yang lebih baik dan mengingati Allah SWT.
“Dalam kehidupan seharian, kita tidak boleh dipisahkan daripada muzik. Muzik merupakan satu bentuk seni, ia boleh membezakan tingkah laku antara manusia.
“Pendidikan tanpa muzik dianggap seperti kurang lengkap khususnya buat kanak-kanak. Sebaliknya, pendidikan yang melibatkan muzik memberi pelbagai kemungkinan yang boleh diterokai.
“Antaranya ialah kebolehan memahami dan menggunakan simbol dalam konteks yang baharu, kreativiti diri, kemahiran diri, ekspresi diri, disiplin serta kepuasan mengatasi sesuatu cabaran,” ujarnya.
Majlis malam itu dimeriahkan lagi dengan persembahan Lestari feat oleh Wan Nordin Wan Yaakob mendendangkan tiga lagu artis iaitu ‘Tak Mungkin Berpaling’ (Slam), ‘Suatu Masa’ (M Nasir) dan ‘Sayap Illusi’ (Wings).
Di samping itu, turut dipersembahkan petikan gitar oleh gitaris terkenal dari kumpulan XPDC, Azuar Md Tasi atau dikenali dengan panggilan Zuar dan disudahkan persembahan oleh Man John.
Kemuncak majlis gilang gemilang di Dewan Dahlia itu telah diakhiri dengan persembahan ‘ad hoc’ oleh dua otai rock iaitu Hamdan gitaris kumpulan Bloodshed dan Umarul gitaris Iklim. – HARAKAHDAILY 15/2/2025












