Sediakan subsidi GPS untuk nelayan – Siti Zailah

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk menyediakan subsidi atau skim pinjaman kepada nelayan bagi membantu mereka menanggung kos pemasangan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang dianggarkan antara RM4,000 hingga RM7,000 seunit.

- Advertisement -

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, kos pemasangan yang tinggi boleh meningkatkan beban operasi nelayan, sekali gus memberi kesan kepada harga ikan di pasaran.

“Saya mengucapkan tahniah di atas usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil tangkapan dan kualiti dari segi operasi nelayan, cuma apabila kos pemasangan GPS antara RM4,000 hingga RM7,000 satu kos yang mahal. Adakah ia akan memberi kesan kepada harga ikan dengan peningkatan kos operasi?

“Apakah kerajaan bercadang untuk menyediakan subsidi ataupun pinjaman kepada nelayan yang tidak mampu untuk memasang pemasangan GPS ini dan adakah jaminan sistem ini dapat berfungsi terutama di perairan yang terpencil yang jauh?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata, selain daripada meneroka penggunaan teknologi seperti remote sensing untuk menarik minat lebih ramai nelayan muda mencebur diri dalam bidang perikanan, adakah kerajaan turut mengkaji keberkesanan pemasangan peranti pengumpulan ikan Fish Aggregating Device (FAD) dalam meningkatkan hasil tangkapan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pemasangan Modul Peranti Pemantauan (MDU) pada bot nelayan adalah langkah penting bagi membanteras aktiviti perikanan haram, Illegal, Unreported, and Unregulated Fishing (IUU), selain memenuhi obligasi antarabangsa negara.

“Pemasangan MDU ini hanya melibatkan kos sekali sahaja, antara RM4,300 hingga RM7,300. Pada masa yang sama kita juga menggunakan ini sebagai satu galakan kepada nelayan-nelayan kita khususnya yang berkapasiti besar.

“Ia juga menjadi syarat lesen bagi nelayan di Zon C dan C3, yang terdiri daripada pengusaha bot bersaiz besar, untuk memastikan mereka tidak menceroboh kawasan perikanan bot lebih kecil seperti Zon B,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025

- Advertisement -