
KUALA LUMPUR: Hanya sekitar lapan peratus golongan belia di Malaysia yang aktif dalam persatuan dan pertubuhan belia.
Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mempersoalkan sasaran kerajaan dalam memastikan pertubuhan belia mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) peningkatan lima peratus ahli setahun.
“Apakah usaha antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) di bawah Model Pembangunan Belia Baharu 2030, khususnya aspek peremajaan pertubuhan belia untuk memangkin penggiat belia sebagai ejen membawa perubahan positif dalam dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam soalan asal, beliau minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan strategi dan inisiatif kementerian untuk memantapkan peranan dan fungsi Majlis Belia Malaysia ke arah pemerkasaan belia terutama dari segi penyelarasan pertubuhan belia dan pelajar.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata kerajaan turut memperluaskan pelbagai program rekrut belia merangkumi pelbagai sektor bagi memastikan pertubuhan belia dapat menarik lebih ramai ahli.
“Kita mahu lebih ramai belia di bawah umur 30 tahun mengisi kepimpinan dalam pertubuhan belia dan menuntut supaya program rekrut baharu meliputi pelbagai sektor supaya lebih ramai dapat menyertai program ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025











