Kelewatan pindaan akta perhimpunan aman dipersoal

Dato' Seri Dr Shahidan Kassim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoalkan kelewatan kerajaan dalam melaksanakan pindaan terhadap peraturan perhimpunan awam, meskipun isu tersebut telah dibangkitkan sejak lebih dua tahun lalu.

- Advertisement -

Beliau menyatakan bahawa hanya selepas kritikan keras diberikan, barulah kerajaan memberikan jawapan yang jelas berhubung perkara tersebut.

Justeru, beliau menuntut penjelasan mengenai bila pindaan itu akan dilaksanakan atau dihapuskan sepenuhnya, serta tempoh masa yang diperlukan sebelum ia berkuat kuasa.

“Jadi Yang Berhormat Perdana Menteri kenapa perlahan? Kita nak tahu yang Berhormat bahawa cadangan pindaan ini bila akan dilaksanakan atau akan dihapuskan? Berapa bulan daripada sekarang?” katanya ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata moratorium terhadap Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) sedang berkuat kuasa.

“Soal dua hari atau lima hari, kita telah bertanya kepada pihak polis. Jika perhimpunan itu besar, mereka meminta tempoh tertentu untuk persediaan dan pemerhatian,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2025

- Advertisement -