
ARAU: Para petani di seluruh negara menantikan pengumuman penting yang akan disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Razali Saad berkata, petani berharap pengumuman tersebut membawa berita positif yang mampu meningkatkan kesejahteraan mereka serta menangani cabaran dalam sektor pertanian.
“Kami menjangkakan pengumuman esok (hari ini) akan memberikan solusi yang lebih baik kepada para petani. Dengan harga lantai semasa ditetapkan pada RM1,300 per tan, kami berharap satu mekanisme berkualiti dapat digunakan.
“Iaitu bagi membantu golongan petani menampung kos operasi yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui semalam.
Industri padi yang merupakan sektor strategik dalam menjamin sekuriti makanan negara tetapi hingga kini masih bergantung kepada import untuk memenuhi keperluan beras domestik, dengan tahap sara diri (SSL) sekitar 65 peratus.
Negeri-negeri utama pengeluar padi seperti Kedah, Perlis, Kelantan, dan Selangor memainkan peranan penting dalam membekalkan beras kepada rakyat, namun, para petani berdepan cabaran besar tanpa pembelaan sewajarnya pihak kerajaan.
Mereka berdepan peningkatan kos input pertanian seperti benih, baja, racun perosak, dan penyelenggaraan sawah dengan keadaan tersebut semakin membebankan apabila harga padi mengalami ketidaktentuan di pasaran, sekali gus menjejaskan pendapatan petani.
Jelas Razali, sebelum ini, pada musim 2024, pihak kilang membeli padi pada harga lebih tinggi, iaitu sekitar RM1,800 per tan, namun bagi musim 2025, harga telah diturunkan kembali mengikut harga lantai kerajaan, menyebabkan petani mengalami tekanan dari segi kewangan.
“Apabila harga lantai ini menjadi paras pembelian utama, petani menghadapi cabaran besar kerana kos benih, baja, racun, dan penyelenggaraan sawah tidak mengalami penurunan yang setara.
“Oleh itu, kami berharap kerajaan turut menetapkan harga siling bagi mengelakkan ketidaktentuan harga padi di pasaran serta memastikan keuntungan petani tidak terjejas,” tambahnya.
Pihaknya menyarankan agar kerajaan mengkaji semula dasar harga lantai dan harga siling serta mempertimbangkan langkah-langkah sokongan lain seperti subsidi input pertanian dan insentif kepada petani kecil bagi memastikan kestabilan industri padi negara. – HARAKAHDAILY 13/2/2025












