Menjunjung kasih dan mendoakan kesembuhan Agong

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menjunjung kasih atas keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menjalani rawatan kesihatan baru-baru ini.

- Advertisement -

“Kami mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan yang sempurna kepada Tuanku, dilimpahi dengan kesihatan yang baik, kekuatan, serta kesejahteraan untuk terus memayungi negara dan rakyat Malaysia dengan penuh hikmah dan keadilan.

“Seluruh saf kepimpinan dan ahli Dewan Pemuda PAS Malaysia turut merafak sembah dan berdoa agar Tuanku sentiasa berada dalam lindungan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

“Semoga Tuanku kembali pulih sepenuhnya dan dapat meneruskan tugas serta amanah sebagai payung kedaulatan negara. Daulat Tuanku!” ujar kenyataan lewat malam tadi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar telah berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.

Yang DiPertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Dato’ Dr Abdul Rahim Ramli, berkata baginda diiringi oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

“Semua rakyat Johor diminta mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran yang berasingan iaitu kenyataan daripada Istana Negara, perkara itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan.

“Seluruh rakyat diminta mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” kata kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini. – HARAKAHDAILY 8/2/2025

- Advertisement -