Ancaman ideologi moden (Bah. 3)

- Advertisement -

PENDUKUNG kesesatan dan azab neraka

Antara pendukung iblis yang direkod dalam sejarah adalah kaum Nabi Nuh yang ingkar, Namrud, Firaun, Haman, Qarun, kaum ‘Ad dan kaum Thamud. 

Mereka bukan sekadar penyebar ajaran sesat di ceruk kampung, tetapi mereka adalah pemerintah yang menjadikan kesesatan sebagai dasar negara. Jika mereka hanyalah golongan kecil yang tidak memberi kesan, Allah SWT tidak akan menonjolkan kisah mereka dalam Al-Quran. 

Kesudahan mereka juga menjadi bukti bahawa sesiapa yang mendukung kesesatan pasti akan menerima akibatnya. Kaum Nabi Nuh AS ditenggelamkan dengan banjir besar yang dikatakan berlaku sekitar 3,300 SM. Namrud, seorang penguasa dunia yang angkuh, akhirnya mati hanya dengan serangan seekor nyamuk. 

- Advertisement -

Kaum ‘Ad yang dikenali dengan kehebatan pembinaan mereka juga dimusnahkan oleh ribut pasir kerana keangkuhan dan keingkaran terhadap perintah Allah SWT:

{ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ } • { ٱلَّتِی لَمۡ یُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِی ٱلۡبِلَـٰدِ }

“Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya) • Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?” [Surah Al-Fajr: 7-8]

Kaum Thamud pula dihancurkan dengan gelombang bunyi selepas mereka membunuh unta Nabi Salleh AS. Kaum Nabi Luth AS yang mengamalkan kejahatan moral dibinasakan dengan diterbalikkan muka bumi dan dihujani batu azab. Manakala Firaun dan tenteranya ditelan laut selepas menentang Nabi Musa AS.

Ciri utama pendukung kesesatan adalah mereka melanggar aturan Allah SWT. Setiap mereka yang menentang kebenaran pasti akan menerima pembalasan yang setimpal.

Pendukung kebenaran

Sebaliknya, mereka yang membawa cahaya Islam adalah para Nabi (Nabiyyin), orang-orang yang benar (Siddiqin), para syuhada’ (Syuhada’), dan orang-orang soleh (Solihin).

Firman Allah SWT:

{ وَمَن یُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ مَعَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِیِّـۧنَ وَٱلصِّدِّیقِینَ وَٱلشُّهَدَاۤءِ وَٱلصَّـٰلِحِینَۚ وَحَسُنَ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ رَفِیقࣰا }

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).” [Surah An-Nisāʾ: 69]

Mereka yang berpegang teguh dengan kebenaran akan mendapat balasan yang agung, iaitu syurga Allah SWT. Ciri utama pendukung kebenaran adalah mereka hidup dengan berpandukan aturan Allah SWT dan berusaha menegakkan agama-Nya di muka bumi.

Keputusan akhir: Siapa yang menang?

Allah SWT telah memberi jawapan melalui firman-Nya:

{ وَقُلۡ جَاۤءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَـٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقࣰا }

“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” [Surah Al-Isrāʾ: 81]

Kebenaran pasti menang. Kesesatan pasti hancur. Itulah sunnatullah yang telah ditetapkan.

Wallahua’lam. (Bersambung…….)

(Catatan dan ubahsuai berdasarkan syarahan oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Mujahid Ir Haji Mohamad Fadzil)

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
8 Syaaban 1446H – 7 Februari 2025 – HARAKAHDAILY 7/2/2025

- Advertisement -