DAPSY jangan jolok sarang tebuan nanti kena sengat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Wira PERKASA) memberi peringatan kepada Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) supaya tidak mencampuri urusan agama Islam.

- Advertisement -

Ketua Wira PERKASA, Muhammad Arsyad Mohd Alias berkata, ini kerana umat Islam sendiri tahu menguruskan urusan agama mereka sendiri.

“Wira PERKASA ingin ingatkan kepada Ketua Pemuda DAP, kamu tidak perlulah mencampuri urusan agama kami, kerana kami tahu bagaimana caranya untuk menguruskan agama kami.

“Kamu siapa yang berani campur urusan agama Islam sedangkan orang Islam di negara ini tidak pernah mencampuri urusan agama kamu,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut Muhammad Arsyad berkata, kenyataan DAPSY yang mempertikaikan cadangan kerajaan mahu mewujudkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan-Islam adalah satu tindakan yang biadab.

Muhammad Arsyad turut mempersoalkan adakah golongan bukan-Islam boleh terima sekiranya orang Islam mencampuri urusan agama mereka?

“Wira PERKASA ingin bertanya, sekiranya kami juga mempersoalkan serta mempertikaikan urusan agama kamu, adakah kamu boleh terima? Sudah semestinya kamu juga mengecam tindakan ini. Begitu juga dengan kami.

“Wira PERKASA memberi amaran keras kepada kamu, kamu jaga agama kamu, kami jaga agama kami. Kalau kamu mahu hidupkan suasana harmoni antara kaum di negara ini.

“Satu lagi kamu perlu faham, agama Islam adalah agama Persekutuan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

“Kalau kamu tidak boleh terima apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kamu sememangnya tidak layak untuk menjadi warganegara Malaysia.

“Kamu kena ingat bahawa orang Melayu, adalah rakyat majoriti dan sudah semestinya agama Islam perlu diperkasakan di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Arsyad turut meengingatkan DAPSY perlu belajar menghormati kaum majoriti di negara ini jika mahukan wujudkan suasana yang harmoni.

“Orang Melayu tidak pernah pertikaikan apa jua bentuk perayaan dan kepercayaan agama di Malaysia, malah kami menghormati, tetapi kamu kena ingat kalau sarang tebuan yang kamu jolok, kamu akan dapat sengatnya,” tegasnya.

Kelmarin, Ketua Pemuda DAPSY, Woo Kah Leong dipetik berkata, pihaknya menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.

Sebaliknya, beliau menggesa agar kerajaan membatalkan pelaksanaannya dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.

Beliau yang juga ADUN Pasir Bedamar mendakwa panduan itu akan menyekat usaha pemahaman masyarakat yang akan mengakibatkan jurang lebih besar antara masyarakat. – HARAKAHDAILY 7/2/2025

- Advertisement -