
SHAH ALAM: PAS Selangor menggesa pemimpin DAP agar tidak campur tangan dalam urusan akidah umat Islam susulan bantahan mereka terhadap garis panduan yang diusulkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad menegaskan bahawa garis panduan tersebut bertujuan memastikan prinsip Islam terus dihormati tanpa menjejaskan keharmonian antara kaum, budaya dan agama di Malaysia.
“PAS Selangor amat hairan dengan maklum balas pemimpin DAP dalam isu ini. Adakah pemimpin DAP risau, garis panduan ini akan memperlihatkan keindahan Islam dengan lebih jelas?
“Secara tidak lansung akan mendedahkan dalang sebenar yang mencetuskan ketegangan antara kaum, budaya dan agama dalam negara kita selama ini?
“Hakikatnya, garis panduan ini bakal menjaga kemaslahatan masyarakat dengan kefahaman yang lebih terperinci serta bakal mengelakkan salah faham dan polemik tidak perlu yang sering dan banyak ditimbulkan oleh DAP ke atas agama Islam,” katanya.
Justeru, beliau menggesa agar pemimpin DAP bertenang dan berhenti daripada campur tangan urusan aqidah umat Islam.
“Jangan takut kepada Islam dan syariatnya,” katanya susulan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) membantah garis panduan kehadiran umat Islam ke majlis agama lain satu bentuk campur tangan yang biadab dan tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan DAPSY jelas menunjukkan keangkuhan dan kejahilannya dalam memahami kedudukan Islam di negara ini.
Afnan berkata, garis panduan ditetapkan bukan satu bentuk sekatan atau penindasan, sebaliknya keperluan untuk memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara. – HARAKAHDAILY 7/2/2025











