Pemuda PUM beri DAPSY amaran, jangan melatah

Campur tangan urusan umat Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda Persatuan Ulama Malaysia menegaskan bahawa kenyataan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) membantah garis panduan baharu kerajaan bagi mengawal penyertaan umat Islam dalam majlis di rumah ibadat bukan-Islam adalah satu tindakan biadab.

Pengerusinya, Dr Ainul Asyraf Lokman berkata, garis panduan yang dicadangkan adalah langkah tepat bagi memastikan umat Islam memahami had dan batas mereka dalam menjaga akidah serta tidak terjerumus dalam perkara boleh menggugat keimanan.

“Tidak ada keperluan untuk umat Islam menghadiri majlis keagamaan di tempat ibadat bukan-Islam, apatah lagi jika ia membuka ruang kepada kekeliruan atau penyebaran dakyah halus. Setiap agama mempunyai batasan dan ajaran yang perlu dihormati.

“Kami tidak pernah meminta orang bukan-Islam untuk terlibat dalam amalan agama kami, jadi hormatilah hak kami untuk menjaga akidah dan tradisi kami tanpa campur tangan dari pihak luar!” katanya dalam kenyataan.

Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 120, yang menyatakan orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha sehingga umat Islam mengikut agama mereka.

Beliau menegaskan bahawa gesaan Pemuda DAP itu tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hanyalah cubaan untuk menggugat prinsip umat Islam dan mencampuri urusan pentadbiran Islam di negara ini.

“Hakikatnya, umat Islam berbeza dengan orang bukan-Islam kerana kami memiliki akidah yang perlu dijaga. Ini bukan soal perkauman tetapi soal agama yang wajib dipelihara!” tegasnya. 

Pemuda Persatuan Ulama Malaysia juga katanya, mengingatkan bahawa DAP sudah berkali-kali masuk campur dalam hal ehwal umat Islam di Malaysia.

“Jaga sahaja agama kamu dan jangan sibuk mahu menentukan apa yang orang Islam patut buat atau tidak! Islam mempunyai ulama dan pihak berkuasa agama sendiri yang lebih layak menentukan garis panduan bagi umat ini,” katanya. 

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan garis panduan yang dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama kerana ia selari dengan prinsip menjaga maslahah umat Islam.

“Tiada seorang pun yang waras dan berpegang kepada Islam akan menolak usaha baik ini,” katanya. 

Justeru, beliau menggesa Pemuda DAP untuk tidak cepat melatah dan menghormati urusan pentadbiran Islam yang tidak ada kena-mengena dengan mereka.

“Hormatilah Perlembagaan Malaysia yang telah menetapkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, dan jangan cuba menanam bibit-bibit perpecahan dengan kenyataan yang hanya menimbulkan ketegangan antara kaum!” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2025

- Advertisement -
- Advertisement -