Sabah, Sarawak akan alami hujan lebat berterusan

Sehingga 5 Februari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 9 Februari 2025.

- Advertisement -

Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sabah dan Sarawak.

Oleh demikian, katanya, MET Malaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan kategori buruk dan waspada melibatkan Sabah dan Sarawak berkuat kuasa sehingga 5 Februari 2025.

“Hujan lebat berterusan (buruk) dijangka berlaku di Sabah iaitu Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan).

“Hujan berterusan (waspada) dijangka berlaku di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei, Sibu (Sibu) dan Mukah.

“Selain itu, amaran waspada di Sabah iaitu Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan telah dikeluarkan dan berkuat kuasa sehingga 7 Februari 2025.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

- Advertisement -